Program Book Sharing @ UTMKL Siri 6 telah diadakan pada 5 Mac 2020 (Khamis) di Perpustakaan Menara Razak, UTM Kuala Lumpur. Dua penyampai terpilih yang berkongsi buku terdiri daripada Puan Suhana Binti Bahatin, Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Unit Hospitaliti Pejabat Pemajuan dan Pengurusan Perniagaan, UTM Kuala Lumpur dan Encik Muhamad Hazwan Bin Zakria, Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Unit Hospitaliti Pejabat Pemajuan dan Pengurusan Perniagaan, UTM Kuala Lumpur.

Puan Suhana Binti Bahatin mengulas buku bertajuk Jangan Derhaka

Pengulas pertama iaitu Puan Suhana Binti Bahatin, telah memilih buku “Jangan Derhaka” karya Mohamad Nidzan Bin Abdul Kadir. Buku ini berkisar tentang  kewajipan dan tanggungjawab seorang anak kepada ibu bapa. Antaranya adalah membuat ihsan kepada ibu bapa seperti mana suruhan Allah SWT yang terkandung dalam Al-Quran serta hadis. Allah SWT memerintahkan agar kita mentaati dan memuliakan kedua ibu bapa Jangan sekali-kali meninggikan suara ketika bercakap, bercakap dengan ucapan yang baik, meghormati dan sentiasa mendoakan mereka sehingga akhir hayat. Derhaka kepada kedua ibu bapa merupakan salah satu daripada dosa besar yang dimurkai Allah SWT.

Walaubagaimanapun, ketaatan itu ada hadnya selagi ianya tidak melibatkan perkara yang memudaratkan atau bertentangan dengan ajaran Islam. Situasi mengupah orang dalam menjaga keperluan ibu bapa adalah diharuskan. Namun sebagai anak adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus berbakti dan memastikan keselamatan mereka terbela. Amalan mencium tangan ibu bapa adalah sesuatu yang sangat digalakkan sebagai tanda merendah diri.

Encik Muhamad Hazwan Bin Zakria mengulas buku bertajuk Kekuatan Doa Ibu.

Pengulas kedua  iaitu Encik Muhamad Hazwan Bin Zakria telah memilih buku “Kekuatan Doa Ibu” yang ditulis oleh Ummi Maya. Doa adalah kekuatan dan senjata rahsia manusia. Dalam sirah Rasulullah SAW, sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapa yang perlu dihormati?”  Rasullullah menjawab ibu, ibu, ibu dan kemudian barulah ayahmu. Jawapan tersebut ada kaitannya dengan naluri dan doa seorang ibu serta kesan kepada anak-anaknya. Lisan seorang ibu perlu dijaga kerana keberkatan seorang anak adalah terletak pada doa seorang ibu. Maka belai dan bahagiakanlah mereka dengan kasih sayang walaupun kita tidak mampu memberikan kemewahan asbab untuk kita meperolehi keberkatan melalui doa seorang ibu.

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain binti Abdul Shukor.

Share this :