Program Book Sharing Siri 8/2020 diadakan pada 21 Mei 2020 (Khamis) secara langsung menggunakan platform Webex selaras dengan Perintah Kawalan Pegerakan di Malaysia. Pada kali ini, dua (2) penyampai yang terpilih ialah Puan Khairunniza Binti Hamzah, Penolong Pegawai Penyelidik, UTM Kuala Lumpur dan Encik Kamarul Azizi Bin Kasiran, Penolong Pegawai Tadbir, UTM Kuala Lumpur.

Puan Khairunniza Binti Hamzah menyampaikan buku yang bertajuk Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains

Pengulas pertama, Puan Khairunniza Binti Hamzah memilih buku bertajuk Solat:Kebaikan Dari Perspektif Sains, yang ditulis oleh Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim. Menurut beliau, hasil buku ini adalah berdasarkan kajian saintifik oleh dua orang Muslim dan seorang bukan Muslim dari Universiti Malaya dalam mengkaji pergerakan dalam solat dan lingkaran gerak solat yang merangkumi 360 darjah. Kajian adalah berdasarkan perbezaan apabila seseorang bersolat dengan betul atau tidak, serta apabila seseorang bersolat dan tidak bersolat. Penulis turut menyamakan solat sama seperti ‘senaman pagi’. Ini menunjukkan jika solat dilakukan dengan betul, badan kita secara automatiknya akan turut bersenam dan inilah kaitannya antara anatomi dan fisiologi manusia. Di akhir perkongsian, penyampai  memberitahu buku ini dapat memotivasikan umat Islam untuk melaksanakan ibadat solat dengan betul, lebih tekun dan teratur demi mencapai kebaikan spiritual, fizikal dan mental.

Encik Kamarul Azizi Bin Kasiran menyampaikan buku yang bertajuk A New Earth

Pengulas kedua, Encik Kamarul Azizi Bin Kasiran telah memilih buku bertajuk ‘A New Earth’, karya Eckhart Tolle. Menurut beliau, buku “A New Earth” ini banyak menceritakan tentang evolusi dari semasa ke semasa, di mana penulis turut mengaitkan tentang kehidupan serta teknologi yang semakin canggih yang ada disekeliling kita. Buku ini membantu kita mengawal ego kita yang kadangkala lebih kepada kehendak melebihi keperluan. Kehendak adalah dibenarkan namun seharusnya tidak melebihi dari kemampuan. Penulis turut menjelaskan bahawa ego banyak membawa keburukan berbanding kebaikan dan akhirnya akan menimbulkan permasalahan seperti kemarahan, cemburu, dan permusuhan. Menurut penyampai, buku “A New Earth” adalah manifesto spiritual yang mendalam yang mana bukan sahaja untuk cara hidup dengan lebih tenang dan teratur tetapi juga untuk lebih mengenali diri supaya dapat menerima kelebihan dan kekurangan diri kita dengan seadanya.

Perpustakaan UTM mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua penyampai kerana memberi kerjasama dalam berkongsi perkongsian mereka secara atas talian sekaligus menunjukkan sokongan mereka dalam menjayakan Program Book Sharing ini.

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain Bt Abdul Shukor.

 

Share this :