Program Book Review Siri 22 kali ini telah menjemput dua orang penyampai iaitu En. Mohamad Firdaus Bin Majid dan juga Puan Hanisah binti Nordin untuk berkongsi pengisian buku yang dibaca oleh mereka ke program Book Review@UTMKL.

En. Mohamad Firdaus Bin Majid telah berkongsi ulasan buku yang bertajuk “Satu Isteri Empat Rasa yang ditulis oleh Rahmat Ramadana Al-Banjari”. Buku ini mengupaskan tentang bagaimana pasangan suami isteri mampu menceriakan kembali kehambaran dalam sesuatu hubungan suami isteri. Beliau berkata, buku ini banyak memberi panduan dan rujukan motivasi, kata-kata semangat, dan beberapa kaedah lain yang boleh memupuk kebahagian di dalam rumahtangga. Beliau menyimpulkan bahawa apa jua yang berlaku dalam hubungan suami isteri, ianya bergantung kepada diri sendiri dalam mencorakkan hala tuju perkahwinan tersebut.

Penyampai kedua pula iaitu Puan Hanisah binti Nordin berkongsi mengenai buku pilihannya yang bertajuk “Suami vs Isteri”, ditulis oleh Datuk Ustaz Kazim Elias. Buku ini telah ditulis dari perspektif seorang lelaki yang menceritakan tentang beberapa aspek yang perlu ada di dalam sesuatu perkahwinan. Antara aspek yang ditekankan adalah kepentingan komunikasi dalam sebuah perhubungan, antaranya cara mengawal emosi untuk mengelakkan konflik sehingga membawa kepada perceraian, kepentingan untuk bermanja tetapi bukan mengada- ngada, serta sikap berdikari itu perlu bagi seorang isteri tetapi suami jangan mengambil kesempatan sehingga melupakan tanggungjawab yang perlu mereka galas. Penulis juga menyatakan, bahawa perempuan juga perlu menzahirkan keinginan yang terbuku di hati kerana lelaki tidak pandai mentafsir apa yang terdapat di fikiran seorang perempuan.

Kedua-dua buku yang berkisarkan kehidupan rumah tangga amat dekat dengan semua tetamu dan menjadikan suasana pada program kali ini lebih ceria dan teruja dengan pelbagai soalan dan ulasan yang menarik.

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain bt Abdul Shukor.

 

Share this :