Program Book Sharing Siri ke-9 diteruskan dengan menjemput dua orang pengulas iaitu Puan Siti Nursarah Bte Md Norzamani, Pegawai Penyelidik Sosial, UTM Kuala Lumpur dan Puan Faizah Bte Omar, Pegawai Kerja Akaun Kanan, UTM Kuala Lumpur. Program dilaksanakan menerusi platform Webex dan dipancarkan secara live ke Facebook UTM Library Kuala Lumpur.

Encik Muhammad Hanis Rahim Selaku Moderator Program Book Sharing

Perkongsian buku dimulakan dengan Puan Siti Nursarah Bte Md Norzamani yang telah memilih buku bertajuk Kemusykilan Remaja, ditulis oleh Ustaz Maszlee Malik. Menurut pengulas, buku ini diterbitkan khas sebagai pembimbing untuk permasalahan yang dihadapi golongan remaja. Sebanyak 300 soal jawab mampu membantu para remaja dari sudut hukum agama dan sebagainya.

Penulis banyak merungkai tentang persoalan-persoalan beserta jawapan dengan cara yang santai, jelas dan mudah difahami bagi membolehkan golongan remaja terus menimba ilmu dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.Penulis turut berkongsi tauladan yang baik yang wajar diamalkan setiap individu seperti berkongsi makan, bersedekah kepada mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Seterusnya pengulas kedua iaitu Puan Faizah Bte Omar telah berkongsi buku Dalam Hati ada Syurga yang ditulis oleh Ustaz Umar Muhammad Noor. Menurut beliau, penulis ada mengatakan bahawa “cinta bukan sekadar perasaan yang menetap dihati. Cinta bukan sekadar kecenderungan tanpa kesan. Akan tetapi, cinta dapat menentukan tempat kita di akhirat nanti”. Selain itu, antara yang dinyatakan di dalam buku ini, adalah memastikan hati kita selalu mencintai para nabi dan solihin yang menjadi kecintaan Allah. Allah mencintai hamba yang menyintai-Nya dan Insya Allah akan dikumpulkan bersama di syurga kelak.

Menurut pengulas, buku berunsurkan dakwah dan nasihat ini boleh dijadikan pedoman dalam melakukan perubahan diri dan seterusnya muhasabah diri dan yang lain untuk menjadi lebih baik sepanjang melalui kehidupan sebagai hamba Allah. Penulis turut berkongsi tentang kehendak hati manusia perlu selaras dengan perintah Allah agar beroleh ketenangan. Oleh itu, berubahlah ke arah yang lebih baik dan sentiasa menjaga hubungan dengan Allah S.W.T menjadikan kita lebih istiqomah dalam segala hal.

Artikel disediakan oleh Puan Aznurul Ain Binti Abdul Shukor

Share this :