JOHOR BAHRU, 20 Ogos 2026 – Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menjadi destinasi pilihan dalam memperkenalkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, kemudahan berinformasi serta ruang interaksi yang menarik kepada mahasiswa apabila menerima kunjungan 42 orang ahli Rahman Entrepreneurship Club (REC), Kolej Rahman Putra pada jam 9.30 pagi.
Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam program kolaborasi antara pelajar UTM dan pelajar Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia, yang turut menjadi platform bagi memperkasa jaringan mahasiswa serta menggalakkan perkongsian pengalaman dan budaya dalam suasana pembelajaran yang lebih santai dan interaktif.

Sepanjang kunjungan, para peserta berpeluang mengenali dengan lebih dekat peranan PRZS sebagai pusat ilmu, pembelajaran dan aktiviti mahasiswa melalui sesi penerangan serta tinjauan ke beberapa kemudahan utama yang disediakan. Antara lokasi yang menarik perhatian delegasi ialah Galeri Raja Zarith Sofiah, Galeri Tokoh Penyelidik, Sudut Bacaan Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor, Bilik Perbincangan serta Game Zone yang dilengkapi dengan kemudahan PlayStation 5.

Lebih menarik, kunjungan ini turut diserikan dengan aktiviti pengenalan budaya dan warisan tradisional Malaysia seperti pemakaian samping serta permainan tradisional seperti congkak, chapteh, teng-teng dan batu seremban.


Aktiviti tersebut bukan sahaja mencetuskan suasana ceria dan mesra dalam kalangan peserta, malah memberikan peluang kepada pelajar dari Indonesia untuk mengenali keunikan budaya tempatan secara lebih dekat. Pengalaman secara langsung ini turut membuka ruang kepada pertukaran budaya dan perkongsian pengalaman antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia.
Kunjungan ini membuktikan bahawa perpustakaan bukan sekadar tempat mendapatkan bahan rujukan, malah berperanan sebagai ruang dinamik yang menghubungkan ilmu, kreativiti, budaya dan komuniti mahasiswa. Kepelbagaian ruang serta kemudahan yang tersedia di PRZS memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar, berinteraksi dan meneroka pengalaman baharu dalam suasana yang kondusif.

Semoga kunjungan ini dapat memberikan pengalaman yang bermakna kepada para peserta serta menyemarakkan lagi minat mahasiswa untuk memanfaatkan perpustakaan sebagai ruang ilmu, kolaborasi, kreativiti dan pembangunan sahsiah, di samping terus memperkukuh hubungan serta jaringan mahasiswa antara Malaysia dan Indonesia.