Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, bukan satu nama yang asing bagi keluarga UTM. Sebagai Naib Canselor Pertama dan Pengasas UTM, beliau mempunyai magis tersendiri sehingga namanya terpahat sebagai tokoh terbilang dalam sejarah pendidikan negara. Justeru, Perpustakaan UTM mengambil peluang  dengan menganjurkan Sesi Bicara Karya yang mengetengahkan naskhah hebat, hasil nukilan Puan Seri Fatini Yaacob yang bertajuk Ainuddin Pejuang “Degil” Melayu pada 25 Jun 2020 (Khamis) dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Sesi ini berlangsung melalui aplikasi webinar Cisco Webex dan dipancarkan secara langsung melalui Facebook Perpustakaan UTM. Sesi dikendalikan oleh moderator berpengalaman iaitu Profesor Madya Dr. Kassim Thukiman,

Sesi ini menampilkan tiga orang ahli panel yang berkongsi tentang jasa dan ketokohan Tan Sri Ainuddin di dalam membangunkan UTM. Ahli panel pertama iaitu Profesor Dr. Ismawi bin Zen merupakan mantan Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia sejak dari tahun 1982. Prof. Ismawi mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Allahyarham Tan Sri Ainuddin. Beliau berpengalaman luas dalam bidang akademik malah pernah berkhidmat di negara timur tengah khususnya Arab Saudi. Malah, beliau pernah memberi khidmat bakti di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan terlibat secara langsung dalam pembangunan kampus UIA di Gombak.

Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar

Ahli panel kedua adalah Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar yang merupakan Profesor dalam bidang Kejuruteraan Struktur. Allahyarham Tan Sri Ainuddin merupakan guru beliau ketika menuntut dalam bidang kejuruteraan awam. Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar kini merupakan  Naib Canselor UTM yang ke 6 dan menggalas tanggungjawab meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Tan Sri Ainuddin.

Ahli panel yang ketiga pula adalah Dr. Mohd Bakri Bakar yang membawa aspirasi kepimpinan muda UTM. Beliau merupakan alumni Universiti Teknologi Malaysia dan kini merupakan Penolong Dekan (Pendidikan Berterusan dan Transnasional) di Fakulti Sains, UTM.  Dr. Bakri aktif dalam pelbagai inisiatif yang melibatkan pendidikan tinggi serta sains sehingga ke peringkat antarabangsa. Pengalaman akademik beliau turut diiktiraf apabila menerima beberapa anugerah sepanjang perkhidmatan beliau di UTM.

Dr. Mohd Bakri Bakar

SUBTOPIK : Pengalaman bersama Tan Sri Ainuddin Wahid dalam membangunkan kampus UTM.
Menurut Prof. Ismawi, Tan Sri Ainuddin merupakan tokoh yang luhur peribadinya dan banyak  merubah lanskap pembangunan pendidikan negara. Prof. Ismawi merupakan pelajar pertama yang bergraduasi dari Fakulti Alam Bina pada ketika itu. Baliau bukan sahaja dianggap sebagai guru, malah dihormati  sebagai seorang bapa berikutan karakternya yang sangat prihatin  terhadap kebajikan pelajar. Pada tahun 1983, Prof. Ismawi telah diminta oleh Allahyarham Tan Sri Ainuddin untuk berpindah ke Johor dan terlibat secara langsung dengan pembangunan UTM Skudai.

Perancangan induk UTM dibuat atas pentafsiran idea Allahyarham Tan Sri Ainuddin sendiri dan ianya direalisasikan oleh En. Ahmad Fakhrul Radzi Mahmud, Ketua Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah di Fakulti Alam Bina ketika itu. Beliau memainkan peranan penting dalam mentranformasi Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) kepada Institut Teknologi Kebangsaan pada 1972 sebelum dinaik taraf kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tiga tahun kemudian. Beliau merupakan perintis kepada penubuhan dua kampus UTM di Kuala Lumpur dan Skudai, Johor.

Jasa dan pengorbanan beliau di dalam bidang pendidikan sangat memberiimpak yang sangat besar kepada pembangunan pendidikan negara. Antaranya, Allahyarham Tan Sri  merupakan individu pertama di Malaysia yang meletakkan lanskap universiti bercirikan Islam. Beliau meletakkan pembangunan UTM berasaskan kepada jati diri yang mengutamakan tradisi melayu dan nilai-nilai Islam. Ianya diterapkan bukan hanya pada reka bentuk bangunan dan lanskap malah keharmonian hubungan di antara staf dan pelajar.

SUBTOPIK: Kepimpinan UTM meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid
Allahyarham Tan Sri merupakan anak Melayu tunggal yang berani memperjuangkan hak Melayu terutama di bidang sains dan teknologi, iaitu satu-satunya bidang yang tidak dikuasai oleh orang Melayu pada ketika itu. Ketokohan Allahyarham Tan Sri dikaitkan dengan kesungguhan dan dedikasinya untuk membantu lebih ramai anak-anak Melayu menceburkan diri dalam bidang sains dan teknologi. Menurut Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, ini merupakan pencetus utama kepada perkembangan UTM iaitu daripada sebuah institusi pendidikan akhirnya berkembang setaraf dengan universiti ternama lain di Malaysia. Legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri adalah hasil perjuangannya dan meletakkan UTM di persada global pada masa ini.

Turut dikongsikan oleh Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar tentang asas penting yg diletakkan oleh Allahyarham Tan Sri di dalam menggerakkan UTM melalui karekternya yang persis sebagai seorang pejuang  ‘degil’ di dalam mempertahankan prinsip pengurusan yang berpijak di bumi nyata. Dengan berpegang kepada prinsip inilah Allahyarham Tan Sri berjaya membuktikan bahawa UTM mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan universiti lain. Antara prinsip pegangan beliau adalah “Belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah pergi”, menggambarkan nilai proaktif yang perlu ada dalam diri individu untuk berjaya.

Tradisi Allahyarham Tan Sri yang sangat menyantuni kebajikan pelajar ini masih dikekalkan sehingga kini oleh generasi pemimpin UTM. Falsafah, misi dan visi yang jelas masih lagi diteruskan bagi  melahirkan lebih ramai lagi teknokrat melayu. Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Bin Omar, berharap agar kesinambungan perjuangan ini dapat diteruskan supaya UTM tetap berdiri megah selari dengan usianya yang hampir mencecah 50 tahun. Semoga UTM mampu mencurah khidmat bakti  kepada masyarakat demi memakmurkan dan mensejahterakan manusia sejagat.

SUBTOPIK : Menjiwai Falsafah, Visi dan Misi UTM oleh generasi muda UTM
Generasi muda UTM tentunya tidak berkesempatan mengenali secara dekat tokoh sanjungan bangsa ini. Namun begitu, kegigihan perjuangan Allahyarham tetap segar dihayati melalui pembacaan, penceritaan di samping menelusuri peninggalan yang diwariskan.

Menurut pemerhatian Dr. Mohd. Bakri, Allahyarham Tan Sri Ainuddin membangunkan UTM berlandaskan kepada Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Beliau juga melihat Allahyarham Tan Sri Ainuddin sebagai sebuah institusi yang dinamik. Strategi dan perlaksanaan yang dizahirkan adalah demi pembangunan masyarakat dan negara secara keseluruhan. Antara peninggalan yang boleh dilihat sehingga kini adalah “Loh Hijrah” yang merupakan cetusan idea beliau untuk ditatapi oleh generasi kini. Loh Hijrah ini membawa makna penghijrahan UTM dari lokasi awal di Kuala Lumpur ke negeri Johor Darul Takzim. Secara simbiliknya, ia membawa maksud penghijrahan ilmu yang sarat dengan makna tersurat dan tersirat. Slogan “Kerana Tuhan untuk Manusia” tetap terpahat dalam jiwa warga UTM sebagai azimat sehingga kini.

Benarlah Ainuddin pejuang bangsa yang ‘degil’. Teguh berprinsip dalam perjuangan untuk anak bangsa, walau dihina dan dibentak namun beliau masih tenang tersenyum dan memaafkan semuanya demi amanah yang dipikul. Sesungguhnya negara berhutang jiwa dengan kegigihan dan pengorbanan ikhlas pejuang sejati yang berjiwa besar, lembut tetapi degil berprinsip ini.

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

 

Share this :