Siri 43 merupakan Program Book Review terakhir bagi tahun 2019 dan seperti biasa sambutan program amat menggalakkan di kalangan staf UTM Kuala Lumpur. Dua orang pengulas telah dijemput untuk berkongsi buku yang telah dibaca terdiri daripada Pn. Mazliza Aini Binti Abdul Majid, Pegawai Penyelidik, Malaysia-Japan International Institute Of Technology (MJIIT), UTMKL dan Ts. Mohd Hazri Bin Ishak, Penolong Jurutera, Pusat Jaringan Komuniti Dan Industri (CCIN), Pejabat Timb. Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), UTMKL.

Pn. Mazliza Aini Abdul Majid mengulas buku bertajuk ‘The Art of Letting God’

Buku bertajuk “The Art of Letting God”, karya Mizi Wahid telah dipilih oleh pengulas pertama iaitu Pn. Mazliza Aini Binti Abdul Majid bagi dikongsikan intipatinya bersama hadirin yang hadir.  Menceritakan detik-detik penulis kehilangan ibu tercinta akibat kanser, penulis memilih buku ini kerana ia berkaitan dengan kerohanian dan mampu membantu dalam merawat hati. Banyak yang pengulas perolehi daripada membaca buku ini dan secara tidak langsung mendorongnya untuk menjadi lebih positif, bermotivasi dan mengembalikan keyakinan diri serta tenang menghadapi dugaan tersebut.

Ts. Mohd Hazri Ishak mengulas buku bertajuk Misteri Ilmu Falak

Pengulas kedua iaitu Ts. Mohd Hazri Bin Ishak telah berkongsi buku bertajuk Misteri Ilmu Falak yang ditulis oleh A. Faiz Salbini. Buku ini menceritakan tentang ilmu astronomi iaitu kaitan antara objek-objek di angkasa terhadap kehidupan di muka bumi. Beliau menerangkan tentang ilmu falak dan kesannya dalam menentukan  lokasi dan arah kiblat mengikut kedudukan matahari. Selain itu, aplikasi ilmu falak ini juga digunakan untuk menentukan takwim seperti tarikh ramadhan, hari raya dan sebagainya. Tambahnya lagi, ilmu falak ini boleh digunakan untuk menentukan masa iaitu dengan dua (2) syarat sah anak bulan. Pertama, iaitu anak bulan perlu berada tiga (3) degree dari matahari dan yang kedua iaitu anak bulan perlu berumur lapan (8) jam (dikira dari keadaan yang tiada langsung anak bulan). Secara kesimpulan buku ini beri banyak manfaat dan pengetahuan mengenai ilmu alam sains dan kebesaran Allah s.w.t.

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain Binti Abdul Shukor.

Share this :