Read & Relax 2020 menampilkan inisiatif dan rakan sinergi baru iaitu Jabatan Pendaftar, UTM di dalam usaha menyemarakkan budaya membaca dan keilmuan di kalangan warga UTM.

Cik Shahizan Binti Sarmijan, Pegawai Tadbir Pusat Inovasi & Pengkomersilan, UTM mengulas buku bertajuk Harta Sepencarian Menurut Pandangan Islam

Seramai tiga (3) orang pengulas telah dijemput bagi menjayakan sesi ini. Pengulas pertama adalah Cik Shahizan Binti Sarmijan, Pegawai Tadbir daripada Pusat Inovasi & Pengkomersilan, UTM yang telah berkongsi maklumat tentang sebuah buku bertajuk “Harta Sepencarian Menurut Pandangan Islam” karya Ustaz Ahmad Tarmizi Jusoh. Buku ini berkisar tentang amalan Akta Undang-undang Keluarga Islam di beberapa buah negeri di Malaysia. Secara umum, harta sepencarian bermaksud harta yang diperoleh bersama suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut hukum dan syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Pengulas berkongsi fakta yang terdapat dalam buku ini yang mana antaranya mengupas tujuan wujudnya konsep dan amalan harta sepencarian. Ianya bagi menjamin hak yang boleh dituntut oleh pasangan suami isteri apabila berlakunya perkara- perkara di luar jangkaan dalam kehidupan mereka. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh pasangan sama ada suami atau isteri sebelum harta itu difaraidkan mengikut bahagian yang telah ditetapkan mengikut hukum. Penulis banyak berkongsi kisah benar yang berlaku dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Puan Nor Qamariah Othman, Pegawai Tadbir Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim mengulas buku bertajuk Indahnya Pesan Luqman Al-Hakim

Pengulas yang kedua iaitu Puan Nor Qamariah Binti Othman, Pegawai Tadbir daripada Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim. Perkongsiannya adalah merujuk kepada sebuah buku yang bertajuk “Indahnya Pesan Luqman Al-Hakim” karya Muhammad Syaari Ab. Rahman. Buku ini merupakan karya terbaru Ustaz Syaari Ab Rahman yang diterbitkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019. Kandungan buku ini disampaikan dari sisi dan perspektif berbeza. Ibarat mutiara yang hilang, buku ini membantu kita lebih memahami mesej penting dalam Surah Luqman, surah ke-31 dalam Al-Quran. Buku ini merungkai Surah Luqman dari sisi pandang yang jarang dititikberatkan termasuklah elemen pemilihan kalimah yang begitu selektif, lalu membawa kepada keindahan transisi babak serta kefahaman makna yang lebih mendalam. Pengulas sangat terkesan terhadap penggunaan bahasa yang digunakan dalam Surah Luqman terutamanya pada perkataan ‘wahuayaizzuhu’ yang membawa maksud bahawa ayat ini diturunkan sebagai pesanan yang relevan untuk diguna pakai sehingga ke hari ini. Selain daripada itu, pengulas juga menyentuh tentang ayat 6 dan juga ayat 13  yang memberi ingatan kepada pengulas tentang nilai harga ‘quality time’ bersama anak-anak. Susunan penceritaan yang sangat indah diperkuatkan dengan sisi pandangan yang unik , berjaya menarik minat pembaca untuk mendalami surah Luqman dan seterusnya Al-Quran.

Puan Zaleha Binti Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan), Perpustakaan UTM mengulas buku bertajuk Colour Your Life With Possibilities

Pengulas yang ketiga adalah Puan Zaleha Binti Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan) daripada Perpustakaan UTM. Buku yang dikongsikan adalah daripada karya Megat Yusof Haji Megat Sharif yang bertajuk “Colour Your Life With Possibilities”. Buku ini mengisahkan tentang erti sebuah kemenangan dan kejayaan seseorang dengan menekankan cara pembawakan diri terhadap kehidupan yang ditempuhi. Kehidupan yang dimaksudkan merangkumi kehidupan sebagai pekerja, ibu/bapa/anak, sahabat atau sesiapa sahaja. Buku ini penuh dengan kata-kata motivasi yang dapat meniup semangat pembaca di dalam mencapai sebuah kejayaan.

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

 

 

 

Share this :