Read & Relax Siri 19/2019, Perpustakaan Sultanah Zanariah menampil dua (2) orang pengulas jemputan dari luar UTM iaitu adalah En. Muhammad Ridwanto Syaful Anwar, yang merupakan Alumni UTM dan Tn. Hj Mohd Akhirudin Abdul Wahab, seorang penulis berpengalaman.

En. Muhammad Ridwanto Syaful Anwar merupakan seorang Alumni UTM mengulas buku bertajuk Membaca: Motivasi dan Kaedah

Pengulas pertama, iaitu Encik Muhammad Ridwanto Syaful Anwar yang merupakan bekas mahasiswa Sekolah Kejuruteraan Elektrik sesi 2007. Beliau mengupas tentang buku yang bertajuk “Membaca: Motivasi dan Kaedah”, karya terbaru seorang penulis dan tokoh akademik yang tidak asing lagi oleh warga UTM iaitu Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang. Buku ini menjadi pilihan pengulas yang begitu berminat dengan topik yang diketengahkan iaitu kaedah membaca dan motivasi yang mendorong ke arah minat membaca. Ia sangat bersesuaian sebagai bahan bacaan umum terutama bagi menjawab segala persoalan yang berkaitan dengan membaca dan kaedah menjadi pembaca cemerlang. Ia merupakan satu suntikan semangat kepada pembaca untuk memahami dunia buku dan terus kekal sebagai pencinta buku.

Tn. Hj Mohd Akhirudin Abdul Wahab mengulas buku bertajuk Tuhan Beri Aku Masa

Pengulas seterusnya merupakan seorang penulis berpengalaman iaitu Tuan Hj Mohd Akhirudin Abdul Wahab. Pengulas adalah merupakan penulis kepada buku best seller “Selamat Tinggal Usia”, “Sepatu Hijrah” dan “Tuhan Beri Aku Masa”. Kebanyakan karya beliau adalah berkisarkan jurnal kehidupan yang mengambil inspirasi dari kisah benar yang dialami oleh penulis sendiri. Karya “Tuhan Beri Aku Masa ” membimbing kita untuk kembali ‘mencari’ diri yang hilang. Ada kisah tentang manisnya dunia yang menipu. Ada cerita tentang akhirat yang hampir dilupakan. Malah, ada peristiwa tentang usia yang disia-siakan di sepanjang waktu yang ada. Buku ini sarat dengan nasihat yang menganggap pembacaan yang berkesan bukan sekadar mendapat ilmu, tetapi dapat menyentuh hati pembaca dan seterusnya beramal dengan kebaikan yang diperolehi.

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

Share this :