Harta pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan si mati daripada harta benda dan hak yang akan diwarisi oleh ahli waris disebabkan kematian pewaris. Menurut Seksyen 2 Akta Probet dan Pentadbirann 1959 di dalam tafsirannya mendefinisikan harta bermaksud meliputi sesuatu benda dalam tindakan dan apa-apa kepentingan dalam harta alih dan harta tak alih. Oleh itu, harta pusaka wujud apabila berlakunya kematian si pemilik harta dan harta yang ditinggalkannya boleh diwarisi oleh waris yang berhak. Perkara ini dibincangkan lebih lanjut dalam sesi perkongsian ilmu anjuran Jabatan Perpustakaan UTM kepada seluruh warganya pada 25 Februari 2020 yang lalu. Seramai 140 peserta telah hadir pada sesi berkenaan yang memberi fokus kepada konsep pewarisan harta untuk anak.

Puan Siti Amira Binti Abd Aziz, Shariah Registered Financial Planner, Perunding Mawarith, Wasiyyah Shoppe Berhad.

Sesi ini telah dikendalikan oleh Puan Siti Amira Binti Abd Aziz, Shariah Registered Financial Planner, Perunding Mawarith, Wasiyyah Shoppe Berhad. Pengalaman dalam bidang pewarisan harta yang telah diceburinya sejak empat tahun lalu telah memberi ruang kepada beliau untuk mendalami ilmu berkaitan pewarisan harta dari sudut syariah. Rakannya, Encik Wan Haslim Bin Wan Ibrahim pula mempunyai lapan tahun pengalaman dalam bidang pewarisan harta dan sememangnya mahir dalam pengendalian kes yang pelbagai.

Encik Wan Haslim Bin Wan Ibrahim, Perunding Profesional Mawarith, Wasiyyah shoppe Berhad.

Pembahagian atau pemberian yang dibuat si pemilik ketika hidup disebut sebagai perancangan atau pengurusan harta. Perancangan harta dalam Islam bermaksud pengurusan harta yang sah dari segi undang-undang dan hukum syarak. Ia bukan sekadar mengurangkan kebimbangan seseorang terhadap harta yang ditinggalkan, bahkan bagaimana hasrat terakhir sesorang itu dilunaskan mengikut hukum syarak.

Kaedah pengurusan harta itu boleh dibuat melalui hibah, wasiat, wakaf, sedekah, amanah atau harta sepencarian. Perancangan harta itu sangat digalakkan ke atas setiap umat Islam pada masa ini. Terlalu banyak kes atau tuntutan yang dibuat di mahkamah disebabkan masalah pembahagian harta pusaka. Kebanyakannya menimbulkan perselisihan faham dan pertelingkahan berpanjangan. Antara kebaikan perancangan harta adalah bagi mengelakkan masalah pembahagian harta pusaka. Ia bagi memastikan harta dibahagikan kepada orang tersayang dan dapat mengelakkan pertelingkahan antara ahli keluarga. Secara jelas dapat dilihat bahawa pengurusan harta pusaka yang betul boleh membantu menjadikan proses tuntutan harta pusaka menjadi lebih mudah dan cepat. Maka, marilah sama-sama kita berusaha untuk menguruskan pewarisan harta dengan baik selagi hayat masih dikandung badan.

Puan Zaleha Binti Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan) menyampaikan cenderamata kepada Puan Siti Amira Binti Abd Aziz.

Puan Zaleha Binti Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan) menyampaikan cenderamata kepada Encik Wan Haslim Bin Wan Ibrahim.

Disediakan oleh Puan Norashikin binti Johari.

 

Share this :