Sesi Read & Relax di Perpustakaan Sultanah Zanariah kini memasuki siri yang ke-7. Siri kali ini menampilkan tiga (3) orang pengulas yang terdiri dalam kalangan staf sokongan di perpustakaan.

Pn. Norshaliza Basarudin mengulas buku bertajuk Filosofi Bawang

 

Pengulas pertama iaitu Pn. Norshaliza Basarudin, Pembantu Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM dengan bukunya yang bertajuk Filosofi Bawang. Buku ini merupakan hasil karya oleh Anie-Alja. ​Filosofi bawang bukan sekadar buku membawang kosong, tapi penuh dengan teguran terhadap fenomena masyarakat kita, yang bakal menjentik hati pembaca dan membawa kesedaran untuk mengubah keadaan kepada yang tidak betul kepada betul. Pemilihan perkataan “bawang” bersesuaian dengan situasi trend masa kini. Buku ini ditulis dengan mengambilkira pelbagai situasi dalam kehidupan dan pergaulan seharian. Cara penulisan yang bersahaja menjadikan buku ini menarik untuk dibaca oleh semua peringkat umur. Antara sifat “bawang” dalam diri manusia yang perlu dinilai dan diubah oleh diri sendiri ialah seperti Self-doubt (kurang keyakinan/berfikiran negatif), High self esteem (merasakan diri sentiasa betul) dan Narcissitic Personality Disorder-NSD (memuja diri sendiri). Buku ini sesuai dibaca oleh pelbagai peringkat umur kerana pendekatannya tidak hanya fokus kepada kelompok tertentu sahaja.

En. Ab Hadi Taib mengulas buku bertajuk Lawn Bowls in Malaysia : The President’s Memoir

Pengulas seterusnya adalah hasil kupasan daripada En. Ab Hadi Taib, Pembantu Perpustakaan Kanan, dengan bukunya yang bertajuk Lawn Bowls in Malaysia : The President’s Memoir. Buku ini telah ditulis oleh Presiden Lawn Bowls Malaysia bagi tempoh 1997 hingga 2012, iaitu Tun Ahmad Sarji, yang juga merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara. Pengulas memilih buku ini kerana ia merupakan buku yang memberikan panduan dan rujukan lengkap mengenai cara permainan lawn bowls. Buku ini telah menjadi inspirasi beliau yang kini merupakan seorang jurulatih lawn bowls UTM. Selain itu, buku ini juga mengupas sejarah lawn bowls dan juga dimuatkan maklumat bergambar yang menunjukkan sejarah dan tokoh dan jurulatih negara yang terlibat dengan permainan tersebut. Buku ini sesuai dibaca oleh mereka yang tiada pengetahuan atau pengalaman mengenai lawn bowls namun berminat untuk cuba bermain dengan sukan ini. Pengulas juga secara tidak langsung telah berkongsi pengalaman beliau tentang permainan ini serta beberapa tips ringkas kepada para penonton yang hadir.

Puan Norizan Yunus mengulas buku bertajuk Masyarakat Keturunan Jawa Johor

Pengulas yang terakhir adalah daripada Puan Norizan Yunus, yang juga merupakan Pembantu Perpustakaan Kanan, Perpustakaan UTM. Beliau telah berkongsi cerita tentang buku yang bertajuk Masyarakat Keturunan Jawa Johor. Pengulas tertarik dengan buku ini memandangkan budaya masyarakat Jawa Johor mempunyai persamaan dengan pengulas yang berketurunan Jawa di negeri Perak. Buku ini dihasilkan oleh penulis iaitu Noriah Mohamed dan Kamdi Kamil, yang merasakan bahawa budaya masyarakat Jawa di Johor ini semakin kurang dihayati oleh masyarakat Jawa itu sendiri. Buku ini mengetengahkan semula adat resam, upacara tradisi budaya masyarakat Jawa dan bahasa Jawa yang semakin kurang digunakan pada masa kini. Pengulas telah berkongsi beberapa upacara tradisi amalan masyarakat Jawa seperti lenggang perut, bengkongan, muputan, baraan dan sebagainya.

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

 

Share this :