Program Book Review Siri 18 telah diadakan pada 13 Jun 2019 di Perpustakaan Menara Razak. Dua pengulas bagi siri ini ialah Pn. Sharifah Radhiah Binti Syed Azman, Pustakawan, Perpustakaan Kuala Lumpur dan En. Khairul Zaman Bin Mohd Radzi, Pegawai Keselamatan, Bahagian Keselamatan, UTM Kuala Lumpur.

Pn. Sharifah Radhiah Binti Syed Azman mengulas buku bertajuk “Stigma

Pengulas pertama, Pn. Sharifah Radhiah Binti Syed Azman memilih buku yang bertajuk “Stigma”, yang ditulis oleh Muharikah. Menurut beliau, novel Stigma ini menceritakan kehidupan dan cabaran yang dilalui oleh golongan LGBTQ. Novel ini memaparkan bagaimana dua orang doktor berdepan dengan pesakit-pesakit HIV yang majoritinya adalah golongan LGBTQ. Walaubagaimanapun, dalam mereka memberi semangat dan terapi kepada pesakit, mereka berdua juga sebenarnya adalah golongan terbabit yang mempunyai masalah yang sama. Oleh itu, novel ini diterbitkan bukan untuk memenangkan satu pihak dan menyalahkan pihak yang lain, tetapi memberi ruang untuk kita berdiskusi bagi merungkai masalah yang ada dan bukan terus menghukum golongan ini.

Penulis juga mencadangkan agar pendengar membaca buku ini untuk lebih memahami perasaan mereka, menyelami isi hati mereka dan sekaligus memberi sokongan kepada mereka , kerana sokongan orang ramai sebenarnya mampu merubah kehidupan mereka. Penulis menegaskan perjuangan menentang nafsu juga merupakan satu jihad dan untuk berubah memerlukan sokongan dari orang sekeliling.

En. Khairul Zaman Bin Mohd Radzi mengulas buku bertajuk “Pejuang Pembaharuan Salahuddin Al-Ayyubi

Perkongsian diteruskan lagi dengan pengulas kedua iaitu En. Khairul Zaman Bin Mohd Radzi. Beliau memilih buku yang bertajuk “Pejuang Pembaharuan Salahuddin Al-Ayyubi”, yang ditulis oleh Abdullah Nasih Ulwan. Buku ini menceritakan tentang seorang mujahid Islam yang kental semangat juangnya iaitu Salahuddin Al-Ayyubi. Salahuddin Al-Ayyubi atau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub (1137-1193) merupakan tokoh yang bertanggungjawab membebaskan kota Baitulmuqaddis daripada kekuasaan orang Barat. Terdapat lima (5) aspek yang diceritakan didalam buku ini iaitu memulihkan dan membangunkan negara, memajukan pendidikan, memajukan bidang ekonomi, kebajikan sosial dan memperbetulkan aqidah.

Menurut beliau lagi, Salahuddin Al-Ayyubi menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian, seperti memberi tumpuan kepada penyediaan dan penyelenggaraan sistem terusan agar berlaku peningkatan produktiviti dan mengelak kekurangan bekalan makanan. Selain itu, beliau juga menitik beratkan sektor perdagangan di beberapa bandar eropah. Ekoran dari itu, sektor perdagangan ini berkembang maju semasa pemerintahan beliau.

Artikel disediakan oleh Pn Aznurul Ain Binti Abdul Shukor.

Share this :