Program Book Sharing @ UTM Kuala Lumpur (KL) siri ke 12 yang diadakan pada 6 Ogos 2020 (Khamis) telah menjemput dua orang staf iaitu Pn. Nur Ainamardiah Binti Zainal dan Pn. Nurul Farhana Bte Sufian bagi berkongsi ilmu berdasarkan pembacaan mereka.

Pengulas pertama iaitu Pn. Nur Ainamardiah Binti Zainal telah memilih buku yang bertajuk “Nota Fikir Untuk Zikir”, penulis Pahrol Mohd Juoi, Menurut beliau, buku ini telah dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama ialah ikhtibar kisah dulu-dulu yang menceritakan tentang hikmah dan ibrah, teladan dalam kisah yang berlaku di alam realiti. Bahagian kedua pula, iaitu berguru dengan alam dimana ia memaparkan tentang nikmat alam yang kita nikmati sekarang adalah pemberian dari pencipta, iaitu Allah. Manakala di bahagian ketiga pula, himpunan kata-kata indah yang mampu mendamaikan jiwa manusia. Secara keseluruhannya, buku ini adalah buku yang penuh dengan kata-kata puitis dan mesejnya jelas kepada pembaca. Setiap zikir tanpa fikir akan mewujudkan manusia yang aktif, dinamik tetapi mampu merosakkan diri orang lain dengan pelbagai kemungkaran mahupun kejahatan.

Pn. Nur Ainamardiah Binti Zainal mengulas buku bertajuk Nota Fikir Untuk Zikir

Pengulas seterusnya iaitu Pn. Nurul Farhana Bte Sufian yang telah memilih buku “Syurga Buatku Pendosa”, hasil karya Hadi Fayyadh. Menurut beliau, buku ini mengingatkan kepada pembaca mengenai dosa, bertaubat, kehidupan, dan sifat Allah Maha Pengampun. Sebahagian dari topik yang diutarakan beliau ditampilkan sekali dengan hadith dan firman Allah dalam Al-Quran. Selain itu, buku ini turut mengajar pembaca untuk istiqomah dalam mempercayai kemampuan diri untuk merubah kepada yang lebih baik. Menurut beliau lagi, Al-Quran adalah terapi baik dalam mengubati diri selain dari berdoa kepadaNya. Beliau turut mengatakan bahawa manusia perlu sentiasa belajar dari kesilapan dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi dan saling memaafi sesama manusia dan sentiasa meletakkan diri kita dalam keadaan orang lain agar kita menghindari sikap pentingkan diri sendiri.

Pn. Nurul Farhana Bte Sufian mengulas buku bertajuk Syurga Buatku Pendosa

Disediakan oleh Pn. Aznurul Ain Bt Abdul Shukor.

Share this :