Pada 27 Ogos 2020, Program BookSharing@UTMKL siri 13 telah menjemput dua orang pengulas untuk berkongsi maklumat berdasarkan buku yang dibaca. Masih dalam norma baharu, program disiarkan secara langsung di Facebook UTM Library Kuala Lumpur.

Di awal program, Puan Noor Ayesha Mohd Ezanee, Pustakawan UTM selaku moderator telah memperkenalkan pengulas yang dijemput iaitu Encik Ahmad Fadhli Bin Mohd Suhaimi, Penolong Pegawai Latihan Vokasional, dari Pengurusan Makmal Universiti, UTM Kuala Lumpur dan Puan Kartina Binti Mohd Khanib, Penolong Pegawai Senibina, dari Jabatan Harta Bina, UTM Kuala Lumpur.

Encik Ahmad Fadhli Bin Mohd Suhaimi mengulas buku bertajuk Pendawaian Domestik Satu Fasa

Program dimulakan dengan Encik Ahmad Fadhli Bin Mohd Suhaimi berkongsi buku Pendawaian Domestik Satu Fasa, yang ditulis oleh Dr. Kamalulariffin Subari. Menurut beliau, buku ini dihasilkan untuk memberikan pengajaran dan menyalurkan maklumat mengenai subjek yang dibincangkan. Kandungan buku ini merangkumi tips dan nota ringkas yang berguna untuk mengelakkan penggunaan elektrik yang overload dan juga litar pintas. Menurut beliau lagi, buku ini lengkap kerana memiliki pelbagai maklumat yang menerangkan jenis pendawaian, fungsi utama, kelebihan dan kelemahan pendawaian yang terdapat di rumah. Selain itu, pemilihan kabel juga adalah amat penting bagi mengelakkan kebakaran elektrik. Oleh itu, beliau menyarankan agar orang awam mempunyai asas ilmu pengetahuan tentang alat-alat elektrik yang digunakan di rumah selain mengurangkan kes ditipu oleh kontraktor melalui pengetahuan asas ini.

Puan Kartina Binti Mohd Khanib mengulas buku bertajuk Bangkit: Pujuklah Hati

Program diteruskan lagi dengan menjemput penyampai kedua iaitu Puan Kartina Binti Mohd Khanib. Beliau memlilih buku yang bertajuk Bangkit: Pujuklah Hati yang ditulis oleh Bonda. Buku Pujuklah Hati mengajak,  dan menasihati kita agar memujuk hati dalam setiap tindak-tanduk dan pertarungan emosi antara positif dan negatif ke arah menundukkan jiwa kepada-Nya. Memilih untuk menulis kisah ini, penulis mengatakan bahawa ia merupakan kisah yang pernah dilalui oleh penulis sendiri dan mungkin juga oleh sebahagian anggota masyarakat. Buku ini turut menyelitkan kisah sirah, pengertian hadis dan ayat-ayat suci al-Quran dapat dijadikan nasihat kepada pembaca yang sedang bergelodak dengan pelbagai rasa. Sebelum mengakhiri sesi perkongsian, penyampai telah menyampaikan saranan penulis iaitu sesukar mana pun dugaan dan halangan yang perlu dihadapi, bawalah diri dan hati kita kembali kepada Allah. Memang tidak dapat dinafikan kita sebagai manusia, sering tewas dalam mengawal emosi dan memujuk hati. Namun, yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersama kita.

 

Disediakan oleh Aznurul Ain Abdul Shukor

Share this :