Sesi Read & Relax Siri 14/2020 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 3 September 2020 di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Di awal program, Encik Salihuddin Bakhri, selaku moderator telah memperkenalkan penyampai yang dijemput iaitu Puan Noor Ezatliarti bte Muda, Prof. Ts. Dr. Mohammad bin Ismail dan Puan Noorshimah Binti A Iahad.

Puan Noor Ezatliarti Bte Muda mengulas buku bertajuk Berani Menjadi Aku

Puan Noor Ezatliarti bte Muda selaku pengulas pertama telah berkongsi buku bertajuk Berani Menjadi Aku yang ditulis oleh Bonda Nor. Buku ini menyajikan 20 antologi kisah benar yang berlaku dalam masyarakat. Ia berkisar tentang cerita santai zaman kanak-kanak dan remaja yang setiap pembaca mungkin pernah melaluinya. Ia kisah kita! Kisah zaman ‘tak cukup akal’ yang mempamerkan pemikiran yang dangkal. Kisah yang menjadi bukti bahawa satu ketika dahulu kita juga pernah keliru dan tersilap memilih sesuatu. Namun, ia kemudiannya menjadi pengalaman yang akan mendewasakan dan membantu kita ke arah kebaikan. Banyak ibrah yang boleh diraih daripada sejarah. Ia membawa kita untuk semakin hampir kepada Allah. Naskhah ini membawa pembaca mendekati kebenaran berlandaskan jati diri yang utuh. Ia memberi kesedaran bahawa segala keinginan akan tertunai jika dilentur dengan cara yang betul. Di akhir perkongsian, pengulas berharap semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada pembaca dan berani menjadi diri sendiri!

Prof. Ts. Dr. Mohammad bin Ismail mengulas buku bertajuk Sahabat Dunia Akhirat

Pengulas seterusnya Prof. Ts. Dr. Mohammad bin Ismail mengulas buku bertajuk Sahabat Dunia Akhirat hasil tulisan Ustazah Asma’ Harun. Buku ini menceritakan tantang indahnya nikmat sebuah persahabatan dalam kehidupan setiap insan. Sahabat yang baik adalah anugerah daripada Allah Taala. Kita perlu berusaha untuk menjadi seorang sahabat yang baik dan juga memilih sahabat dari kalangan yang baik-baik supaya keindahan persahabatan itu dapat memberi manfaat kepada kedua-duanya di dunia dan akhirat. Buku ini memuatkan nasihat dan madah indah Ustazah Asma’ Harun yang disampaikan secara santai. Ia merupakan himpunan nasihat daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang dikasihi kerana Allah Taala. Buah tangan pertama Ustazah Asma’ Harun ini bukan sekadar ayat-ayat indah yang menyentuh hati dan disulam syair, malah ia diserikan dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis berkaitan. Selain itu, buku ini turut menyelitkan kisah teladan, pengalaman hidup dan doa sebagai panduan kepada para pembaca.

Puan Noorshimah binti A Iahad mengulas buku bertajuk Diari Umrah Pertamaku

Pengulas yang terakhir adalah Puan Noorshimah binti A Iahad yang mengulas sebuah buku bertajuk Diari Umrah Pertamaku hasil nurkilan Suhaili Mohd Zain. Menurut pengulas, buku ini mencatatkan pengalaman perjalanan penulis ketika mengerjakan umrah buat kali pertama bersama keluarga. Buku ini sesuai dijadikan panduan untuk semua wanita yang ingin menunaikan ibadah umrah buat pertama kalinya. Ia memuatkan tips serta panduan sebagai persediaan jemaah wanita bermula dari fasa sebelum berangkat sehinggalah saat mereka menjejakkan kaki di bumi Haramain.

Disediakan oleh: Norashikin Johari

Share this :