Puan Nik Masriza selaku Timbalan Ketua Pustakawan Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif untuk memulakan perkongsian bagi Program Book Sharing@UTMKL secara atas talian di Channel Youtube . Beliau telah memilih buku yang bertajuk “Membaca: Motivasi & Kaedah” yang ditulis oleh Datuk Seri Ir Dr. Zaini Ujang. Penulis yang suatu ketika dahulu pernah bersama-sama di Universiti Teknologi Malaysia, dan kini bertugas di Kementerian Alam Sekitar cukup sinonim dengan menulis buku dan kebanyakannya bertemakan pelestarian alam sekitar.

Buku edisi terkini ini ditulis pada 2019, dan secara keseluruhannya ia menceritakan bagaimana untuk membudayakan membaca. Menurut beliau, sasaran membaca yang ideal di Malaysia ialah membaca sebanyak 30 naskah setahun. Oleh itu, buku ini mampu membantu para pembaca mengatasi pelbagai masalah, dan seterusnya menjadikan pembaca lebih cemerlang dan mahir menggunakan pelbagai kaedah pembacaan yang berbeza.

Puan Nik Masriza mengulas buku bertajuk “Membaca: Motivasi & Kaedah”

Kaedah teknik membaca turut dikongsi dalam buku ini di mana pembaca mampu mempertingkatkan jumlah bacaan dalam seminit. Menurut beliau, penulis turut mencadangkan dalam buku ini untuk membaca sekurang-kurangnya 10 ayat Al-Quran, 10 hadis dan senaskah akhbar sehari. Manakala sebuah buku bukan fiksyen, sebuah buku fiksyen dan senaskah majalah untuk seminggu. Menurut penulis lagi, amalan membaca adalah satu habit dan boleh menjadi budaya kepada seseorang. Penulis turut menekankan tiga kemahiran yang perlu dimiliki untuk berjaya iaitu membaca dan menulis, mengira dan memikir.

Beliau turut menekankan kunci untuk membaca buku adalah dengan membaca pantas dan teknik tersebut ada dikongsikan di dalam buku tersebut. Antaranya ialah menggunakan pen untuk memandu bacaan, dan cipta satu irama dan ikut irama tersebut sepanjang tempon bacaan. Sebelum mengakhiri perkongsian ini, beliau mencadangkan agar setiap pendengar meletakkan satu tempoh bacaan untuk mnghabiskan buku dan berkongsi intipati buku tersebut dengan rakan-rakan yang lain samada di media sosial atau program seumpamanya seperti Program BookSharing@UTMKL yang dianjurkan oleh Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

 

 

 

 

 

Share this :