Pelbagai program menarik anjuran kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Kementerian Perpaduan Negara bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara bagi menyemarakkan dan memantapkan lagi penghayatan rukun negara dalam kalangan rakyat Malaysia. Perpustakaan UTM sentiasa menyokong padu pelbagai inisiatif murni ke arah menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air.

Dalam rangka jelajah negara bersempena sambutan bersejarah ini, dua lokasi terpilih di peringkat negeri Johor. Perpustakaan UTM mewakili perpustakaan akademik berasa bertuah kerana dilantik sebagai tuan rumah program selain daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Senai, Kulai.

Program Jerayawara Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara di Perpustakaan UTM, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM dilaksanakan pada 10 September 2020 dalam norma baharu, penuh semangat patriotik dengan kehadiran pihak BERNAMA Johor serta Wakil Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara, Puan Hasnita Ibrahim. Turut hadir memeriahkan majlis adalah Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Madya Dr. Zaleha binti Abdullah sebagai sokongan padu kepada peristiwa penting dalam sejarah Universiti.

Program dimulai dengan bacaan doa pimpinan Encik Muhamad ‘Atiff bin Mahussain, staf PRZS disusuli dengan taklimat ringkas daripada Puan Nor Baizura binti Basri, Ketua Biro BERNAMA Johor dan ucapan aluan dari Puan Noraziah binti Sharuddin, Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM.

Sesi bacaan ikrar Rukun Negara diketuai oleh Encik Mohamad Admin bin Sadali, staf PRZS diikuti para hadirin. Sejurus selepas itu, tayangan video daripada BERNAMA dipertontonkan berkaitan sejarah Rukun Negara dan aktiviti yang telah diadakan sempena ulang tahun ke-50 Rukun Negara. Selain daripada itu, turut diadakan adalah penyampaian bahan promosi Rukun Negara berupa gegantung Rukun Negara, penanda buku ikrar Rukun Negara, pelitup muka, serta buku nota Rukun Negara daripada BERNAMA kepada Ketua Pustakawan diiringi oleh Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM.

Lebih menarik lagi apabila para hadirin berpeluang menjawab kuiz berdasarkan video yang ditayangkan dan sebanyak sebelas (11) pemenang bertuah menerima hadiah yang disediakan oleh pihak BERNAMA. Sesi bergambar dan laungan patriotik beramai-ramai di kalangan para hadirin diadakan dengan penuh ceria dan bersemangat sebelum bersurai. Terima kasih di atas kerjasama dan komitmen semua pihak yang menjayakan program bersejarah ini.

 

 

 

 

Share this :