Sesi Read & Relax Online pada kali ini menampilkan khas buku yang mengisahkan tentang seorang pejuang yang namanya tidak banyak diceritakan. Bersempena dengan Hari Kemerdekaan ke 63 dan Hari Malaysia, buku bertajuk “Memoir Seorang Pejuang” telah dikupas oleh Puan Siti Norulhana Hj Miskan, Pegawai Senireka Kanan, Bahagian Pemajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM.

Tarikh keramat 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, satu peristiwa yang perlu disemat dihati setiap anak Malaysia. Mungkin ramai dalam kalangan kita sering tertanya-tanya siapakah pegawai tentera berpangkat Kapten yang berdiri di sebelah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sewaktu lafaz kemerdekaan dilaungkan di Stadium Merdeka ketika itu.

Puan Siti Norulhana Hj Miskan mengulas buku bertajuk Memoir Seorang Pejuang

Pegawai berkenaan ialah Allahyarham Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Hamid yang ketika itu berpangkat Kapten. Beliau telah melalui era penuh cabaran bermula semasa Perang Dunia Kedua, Darurat dan Konfrontasi sehingga bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 1965.

Walaupun namanya seperti tidak diketahui umum, tetapi pejuang ini telah banyak berjasa kepada negara. Malah telah melalui tiga (3) zaman yang berbeza dalam mempertahankan tanah melayu. Bermula dengan penjajahan British, beliau juga turut terbabit menentang pendudukan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, membina semula Rejimen Askar Melayu selepas perang berakhir di samping menentang pemberontakan komunis.

Allahyarham Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Hamid juga merupakan antara sebahagian daripada mereka yang menggerakkan persiapan majlis menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Beliau pada ketika itu berpangkat Kapten dan menjawat sebagai Pegawai Undang-undang di Malaya Command (kini Kementerian Pertahanan). Beliau sangat bertuah kerana diberi tanggungjawab untuk menjadi juruiring tentera untuk menyerahkan Suratcara Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman pada hari istimewa tersebut.

Allahyarham Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Hamid

Dilahirkan pada September 1920, merupakan anak kelahiran Taiping, Perak. Penglibatannya dalam tentera bermula sebagai Prebet di dalam Askar Melayu. Mungkin tidak sehebat Leftenan Adnan, tetapi kisahnya memainkan peranan yang cukup signifikan kepada negara. Kisahnya seolah-olah dipandang sepi setelah bersara pada 1965. Sehingga satu kumpulan penyelidik dari Kementerian Pertahanan cuba menjejaki semula dan berjaya menemubual beliau pada 2001. Akhirnya sebuah buku tentang kisah beliau berjaya dihasilkan terbitan Kementerian Pertahanan.

Ingatan beliau ketika ditemubual, membuktikan betapa peristiwa ini terpahat dalam dirinya. Dikongsikan satu-persatu kenangan tersebut sehinggakan masih mengingati setiap nombor platun-platunnya walaupun pada ketika itu usianya telah mencecah lebih 80 tahun. Beliau juga merupakan anak watan terawal yang mengetahui tarikh kemerdekaan. Beliau diantara yang terlibat secara rapat dalam memastikan perjalanan majlis berjalan dengan lancar, termasuklah penyediaan surat cara yang telah dibuat dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Pada 2005, pejuang ini dikhabarkan telah meninggal dunia akibat sakit tua. Namun begitu, Alhamdulilah, kisah perjuangannya sempat dinukilkan supaya boleh menjadi penyambung warisan kepada anak bangsa.

Terima kasih para pejuang negara!

 

Share this :