Encik Ahmad Zubir Bin Zainal Abidin, Alumni UTM telah menyambut  jemputan Perpustakaan UTM sebagai pengulas Read & Relax versi online bagi siri yang kelima pada 22 April 2020 (Rabu). Bagi sesi kali ini pengulas telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Kampung Tempe: Voices From A Malay Village hasil nukilan Yahaya Sanusi dan Hidayah Amin.

Buku ini menceritakan tentang Kampung Tempe, iaitu sebuah perkampungan kecil yang telah ditubuhkan pada awal tahun 1905 lalu oleh sekumpulan orang Jawa. Kini, Kampung Tempe tinggal kenangan dan mungkin namanya hanya meniti di bibir generasi lama namun hakikatnya terdapat banyak kisah menarik mengenai Kampung Tempe yang perlu masyarakat hari ini tahu. Buku ini menghimpunkan pelbagai cerita menarik kampung ini daripada bekas penduduknya sendiri.

Pengulas memaklumkan bahawa buku ini terbit dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pengulas turut kongsikan antara yang menarik untuk mengenali sejarah penting Kampung Tempe termasuk kisah sebuah madrasah terkenal di perkampungan berkenaan iaitu Bustanul Arifin. Buku ini mengupas kepentingan madrasah kepada penduduk kerana walaupun tidak begitu besar tetapi berjaya memenuhi keperluan penduduk Kampung Tempe lewat 1980-an.

Pengulas turut menceritakan nama Kampung Tempe, yang berasal daripada makanan tradisional terkenal etnik Jawa di seluruh Nusantara yang berasaskan bijirin kacang soya dikeringkan iaitu tempe. Buku itu turut menerangkan dengan lebih lanjut tentang proses pembikinan serta penjualan tempe di kampung tersebut, malah, tempe yang dibekalkan di Singapura pada waktu itu sebenarnya adalah daripada kampung tersebut.

Menurut penulis bersama buku berkenaan, Dr. Yahaya Sanusi yang juga merupakan bekas penduduk Kampung Tempe, beliau menulis buku itu demi mendalami asal usul keturunan beliau dan rujukan generasi akan datang.

 

 

Share this :