Sesi Read & Relax di Perpustakaan UTM Johor Bahru diteruskan pada kali ini memasuki siri ke 11 bagi tahun 2020. Ia telah dijalankan pada 02 Julai 2020 (Khamis) jam 11.00 pagi melalui aplikasi Cisco Webex dan dipancarkan secara terus melalui FB Live di Facebook Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia. Pada sesi kali ini menampilkan dua orang pengulas iaitu yang pertama Encik Amri Bin Musfan, Penolong Pegawai Tadbir daripada Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar. Manakala pengulas kedua pula ialah Encik Sukri Bin Ismail, Penolong Juruaudit, daripada Unit Audit Dalam, Jabatan Canseleri.

Encik Amri Bin Musfan mengulas buku yang bertajuk Arqam : Tersungkur Di Pintu Syurga

Pengulas pertama iaitu Encik Amri Bin Musfan telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Arqam : Tersungkur Di Pintu Syurga hasil nukilan Zabidi Mohamed. Buku ini adalah berkenaan gerakan dakwah Jemaah Darul Al-Arqam yang merupakan gerakan agama di Malaysia dan diasaskan oleh Ustaz Ashaari Muhammad. Ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan telah mengembangkan pengaruhnya dikalangan berbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia ini. Al-Arqam mendapat sambutan sebilangan masyarakat yang menganggapnya sebagai sebuah badan dakwah yang unggul sebelum ia dianggap sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994. Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian. Namun begitu, pengulas melihat Arqam adalah satu pertubuhan yang pernah gah dan menjadi isu besar dalam negara. Sektor ekonomi umat islam yang dibangunkan oleh Al-Arqam pada ketika itu dilihat sangat hebat dan mampu menjana ekonoomi sendiri termasuklah dari segi penghasilan produk makanan, sekolah, hospital/klinik, kenderaan jenazah, kedai jahit, sektor pertanian dan lain-lain. Tetapi terdapat segelintir pengikut yang terlalu taksub dengan pertubuhan Arqam dan pengasasnya Ustaz Asaari (Abu Ya). Pengulas juga menjelaskan pengarang buku ini mampu memaparkan keseimbangan perkara baik dan buruk di dalam Al-Arqam. Penceritaan adalah berdasarkan kepada pengalaman penulis sendiri kerana dia merupakan mantan Penasihat Undang-Undang ke 2 Al-Arqam. Kewujudan Arqam juga telah menjadi pencetus industri nasyid di Malaysia. Pengulas menjelaskan berdasarkan dari pembacaan buku ini dapat diambil beberapa pengajaran yang mana sebelum menerima sebarang maklumat dan ajaran perlu diteliti dan perlu ada ilmu supaya mampu membezakan mana yang benar dan mana yang batil. Pengulas menasihati agar jangan ambil mudah dalam mencari ilmu terutamanya ilmu agama sebaiknya perlu siasat terlebih dahulu supaya tidak terjerumus kearah kesesatan kerana ianya melibatkan akidah dan kepercayaan. Elakkan dari bersikap terlalu taksub kerana seperti yang dinyatakan di dalam buku tersebut “Ketaksuban membunuh akal waras manusia”.

Encik Sukri Bin Ismail mengulas buku bertajuk Forensik Kewangan

Pengulas kedua iaitu Encik Sukri Bin Ismail telah berkongsi tentang sebuah buku bertajuk Forensik Kewangan karya Zaidi Ismail. Buku ini mengandungi 10 bab yang tersusun kemas dan boleh dikatakan 2/3 daripada keseluruhannya menekankan tentang asas utama dalam pengurusan kewangan yang betul, iaitu mindset dan sikap. Pengulas menceritakan bahawa penulis dibesarkan di perkampungan setinggan di Petaling Jaya, merupakan seorang usahawan, pelabur dan juga pengasas kepada UrusInsan, sebuah komuniti dalam talian yang celik kewangan dan fokus kepada pendidikan kewangan, UrusInsan mempunyai lebih dua ribu (2000) ahli di serata dunia. Beliau banyak menghasikan video pendidikan kewangan melalui laman sesawang www.urusinsan.info. Beliau bersara dari pekerjaan makan gaji seawal usia 32 tahun. Beliau kini akif dalam perniagaan berkaitan hartanah, media baru dan pendidikan kewangan. Beliau banyak berkongsi pengalaman beliau dalam bidang perniagaan, pemasaran, pelaburan dan kewangan melalui sesi ‘coaching 1-on-1’ dan ‘analisa kewangan’ beliau. Penulis juga berkongsi dan menyatakan pengalaman beliau. Menurutnya bagi yang masih bujang, jangan persiakan masa dan usia muda. Penulis yang dahulunya dilahirkan miskin, dibesarkan di perkampungan setinggan kini mampu merantau lebih 16 buah negara, memiliki pelbagai jenis perniagaan berkaitan hartanah dan menjadi jutawan seawal 32 tahun tanpa diploma mahupun ijazah, maka sesiapa pun mampu melakukan lebih baik daripada beliau kerana menurutnya setiap daripada kita mempunyai lima modal iaitu masa, tenaga, pengetahuan, emosi dan wang. Maka gunakan kesemua modal ini untuk menjadikan impian anda satu kenyataan. Pada awalnya pengulas juga berdepan dengan situasi kewangan yang sukar dan memerlukan nasihat daripada yang pakar. Beliau mendapat buku dan dapat menemui penulis sehinggalah dapat melerai dan membantu masalah kewangan yang dihadapinya melalui pengalaman sendiri. Sehingga pengulas beliau berjaya bangun semula dan keluar dari belenggu kewangan yang dihadapinya. Menurut beliau buku ini benar-benar telah mengubah kehidupannya. Mencari ilmu dengan mentor yang betul adalah penting untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi. Biar siapapun kita, ilmu dan kemahiran kewangan tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Sedar atau tidak, semua orang memerlukan ilmu dan kemahiran tersebut. Bagi mewujudkan masyarakat yang kuat dari segi kewangan,ia bermula daripada individu. Jadi kita perlu belajar mengurus kewangan peribadi sebelum menguatkan masyarakat. Apabila individu kuat, maka keluarga akan kuat dan akhirnya masyarakat juga akan menjadi kuat.

Share this :