Program khidmat masyarakat di Rumah Titian Kasih, Titiwangsa, Kuala Lumpur telah diadakan pada 26 September 2020 (Sabtu) bermula dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari sinergi antara Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (KL) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Seramai 10 orang sukarelawan telah terlibat dalam menjayakan program khidmat masyarakat bertemakan “Semarak Ilmu, Teduhan Kasih” di Rumah Titian Kasih yang menempatkan 40 orang anak-anak yatim yang berumur 12 tahun dan ke bawah.

Terdapat beberapa objektif program khidmat masyarakat. Antaranya adalah untuk meningkatkan kerjasama antara UTM dan PNM bagi menggalas tanggungjawab memupuk budaya ilmu  dalam kalangan golongan berkeperluan khas bagi melahirkan masyarakat yang berilmu. Selain itu juga, menggalakkan keterlibatan staf Perpustakaan UTM dalam menyokong program yang berbentuk perkhidmatan kepada komuniti.

Justeru, antara aktiviti yang direncanakan adalah melibatkan dua slot program iaitu Terapi Minda dan Buku serta Bina Kata. Anak-anak ini telah dibahagikan kepada empat kumpulan untuk memudahkan kawalan dan bagi mencapai matlamat program dimana perhatian untuk setiap kumpulan lebih berfokus.

Slot Terapi Minda dan Buku dilaksanakan secara bersemuka yang melibatkan sesi bercerita dan membaca buku. Tujuan slot ini diwujudkan bagi memupuk budaya membaca dengan pengisian jiwa dalam meningkatkan motivasi serta keyakinan diri kepada golongan ini.

Slot Bina kata pula, merupakan satu sesi interaktif dalam pencarian kosa kata. Ianya berbentuk pertandingan bagi menarik minat mereka untuk belajar dan faham apa yang hendak disampaikan. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan memupuk kreativiti peserta dalam membina kosa kata tersebut. Kumpulan yang mendapat markah yang tertinggi telah menerima hadiah.

 

Semoga sedikit sebanyak aktiviti yang dijalankan ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak Rumah Titian Kasih seterusnya menyuntik semangat untuk membudayakannya dalam kehidupan seharian kerana bangsa berilmu adalah bangsa berjaya!

 

 

 

 

 

 

 

Share this :