Program k-sharing ‘Anak UTM Di Bumi Uncle Sam : Menimba Pengalaman Sebagai Bakal Pendidik’ telah diadakan pada 14 Julai 2020 bersempena dengan Hari Kokurikulum Mingguan UTM menerusi aplikasi webex dan ditonton secara lansung di Facebook Perpustakaan UTM. Panel jemputan adalah Syed Ahmad Khuzaimi bin Syed Mazlan, mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Pendidikan dalam Kemahiran Hidup, Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau berkongsi pengalaman semasa menjalankan latihan mengajar di Montague High School, Michigan, USA selama tiga bulan. Ianya bermula dengan penyertaan beliau di dalam program gabungan antara guru pertanian dari USA dan bakal guru pertanian dari UTM.

Sebagai langkah persediaan, beliau mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Medini, Nusajaya, Johor Bahru. Pada 1 Mac 2019, beliau pun berangkat ke USA. Menurut beliau, pengalaman mengajar di luar negara yang berlainan budaya dan bahasa adalah agak sukar pada mulanya. Menurutnya, seseorang guru kena fleksibel dalam apa jua keadaan. Sistem pembelajaran di USA berbeza di mana pelajar yang bergerak ke kelas mengikut subjek dan guru akan menunggu di dalam kelas. Pelajar disediakan locker di luar kelas untuk menyimpan barang. Beliau diberi peluang untuk mengajar kelas fresh man, junior dan senior class di dalam subjek earth ecology, environment plant dan biology in science. Di sana guru perlu kreatif dalam kaedah pengajaran dan banyak berfikir di luar kotak. Di antara petua untuk mahir berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris adalah keyakinan diri yang tinggi dan tidak memikirkan apa kata orang. Pelajar beliau banyak memberi galakan beliau untuk berbahasa Inggeris.

 

Tugasan pertama beliau adalah membawa 60 orang pelajar ke lawatan sambil belajar ke Michigan State University untuk FFA Spring Skill Contest. Beliau mengambil peluang dalam sepanjang perjalanan menaiki bas untuk berinteraksi dengan pelajar sambil bercerita mengenai Malaysia. Beliau juga diberi tugasan sebagai guru sukan softball dan menguruskan penyertaan sukan antara sekolah. Beliau juga berpeluang untuk menyelia projek pelajar seperti projek membela khinzir dan kuda. Beliau juga dinilai setiap hari oleh pensyarah serta penyelia untuk menambahbaik prestasi pengajaran beliau.

Di antara cabaran beliau di sana adalah perbezaan budaya, kewangan, makanan dan cabaran merentas benua. Beliau pernah ditahan di lapangan terbang selama 2 jam gara-gara nama beliau. Di antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah pengalaman berkongsi mengenai Islam di dalam gereja. Perkara menarik yang boleh dikongsi adalah budaya mencintai diri terlebih dahulu sebelum mencintai orang lain dan budaya berdikari sangat ketara di mana individu mampu untuk hidup sendirian tanpa bergantung kepada orang lain. Akhir kata, nasihat beliau kepada semua agar keluar dari zon selesa dan mencabar diri untuk meneroka bidang baharu dan jadilah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.

Share this :