Program k-sharing ‘Dilema Anak Muda Antara Kerjaya, Orang Tua dan Perkahwinan. Bersediakah Mereka Menempuh Hari Mendatang?’ telah diadakan pada 8 September 2020, Selasa bersempena Hari Kokurikulum Mingguan UTM menerusi aplikasi webex dan ditonton secara lansung di Facebook Perpustakaan UTM. Panel jemputan adalah Dr. Zulfikar bin Ahmad, Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Teknologi Malaysia. Panel mengupas tiga (3) isu utama iaitu kerjaya, orang tua dan perkahwinan daripada perspektif psikologi. Anak muda adalah belia yang berusia 35 tahun ke bawah dan mereka mengalami fasa baharu dalam kehidupan iaitu fasa awal kedewasaan (young adulthood). Fasa ini merupakan fasa menyesuaikan diri (adjustment) dan ianya bukanlah sesuatu yang mudah bagi individu walaupun telah melaluinya berulang kali. Dalam fasa ini, konflik diri akan berlaku di mana pada awal usia kedewasaan emosi individu semakin matang. Individu yang berjaya mengenali emosi sendiri akan lebih berjaya mengawal kehidupan berbanding dengan individu yang belum. Individu yang belum mengenali emosi diri akan mudah berfikiran celaru dan kurang kestabilan diri. Di awal kedewasaan menuntut anak muda untuk berani membuat keputusan dalam hidup dan ianya bergantung kepada pengalaman hidup. Kurangnya bimbingan daripada orang dewasa atau ibu bapa boleh menyebabkan anak muda berada dalam konflik dan dilema. Selain daripada itu, faktor lain yang turut menyumbang adalah zaman yang mencabar dan harapan yang tinggi memberi tekanan untuk menentukan halatuju hidup yang jelas. Oleh itu, orang muda perlu lebih terbuka dalam mencari jawapan daripada orang yang lebih berusia dan berpengalaman.

Konflik pula didefinisikan sebagai faktor luaran yang mengatasi kemampuan diri. Ego pula ditakrifkan sebagai defense mechanism yang perlu ada untuk melindungi diri. Ego adalah fitrah pada manusia. Teori yang selalu digunapakai dalam kehidupan adalah Teori Hierarki Keperluan Maslow iaitu keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan sosial, keperluan penghargaan diri (esteem) dan keperluan hasrat diri. Contohnya, gaji adalah tujuan asas untuk bekerja, jadi orang muda sebenarnya bekerja dan bukannya berkerjaya. Kebanyakan orang muda berjuang untuk mencapai kedudukan yang diinginkan. Kepuasan hidup adalah lebih penting daripada kepuasan bekerja. Individu yang cukup pengalaman hidup lebih berdikari berbanding dengan individu yang kurang pengalaman hidup. Oleh itu, mereka yang kurang pengalaman hidup masih memerlukan bimbingan daripada orang dewasa. Ibubapa sering menganggap anak mereka sudah cukup dewasa dan mahir untuk mengurus kehidupan masing-masing. Komunikasi dalam bentuk perbincangan di antara anak dan ibubapa adalah penting dan ianya boleh dilakukan dalam suasana santai. Di dalam sesuatu perbincangan, profesionalisme dalam komunikasi perlu diwujudkan. Ramai yang memberi alasan bahawa ibu bapa mereka hanya bekerja di kampung dan perbincangan itu dilihat tidak perlu berdasarkan latar belakang pendidikan ibu bapa. Ketahanan diri di kalangan orang muda masih kurang menyebabkan mereka cepat mengalah. Contohnya, ramai anak muda tidak mampu bertahan dalam tempoh percubaan dalam bekerja. Kemampuan membuat keputusan adalah penting dalam kehidupan. Ibubapa mendidik anak untuk berani membuat keputusan asas seawal umur 3 tahun, contohnya dalam pemilihan pakaian. Ada sesetengah ibu bapa suka membuat keputusan untuk anak mereka sehingga anak bergantung harap kepada mereka dalam membuat sebarang keputusan. Kematangan seseorang itu bukannya terletak pada umur tetapi kematangan diukur ketika membuat keputusan. Kematangan terhasil daripada didikan, pengalaman atau budaya dan individu yang matang lebih mudah menyesuaikan diri serta mudah berdikari. Menurut panel, perkahwinan adalah satu urusan yang berisiko.

Ada individu yang belum bersedia untuk berkahwin tetapi meneruskan niat untuk berkahwin dengan anggapan boleh menyesuaikan diri selepas berkahwin. Adalah menjadi satu trend pada masa sekarang di mana niat untuk berkahwin dibina bukan atas kesediaan tetapi disebabkan oleh faktor luaran, contohnya kahwin disebabkan kerana kawan baiknya kahwin. Lima (5) tahun pertama dalam perkahwinan adalah fasa penting di mana fasa penyesuaian diri dan ramai yang gagal sebab kurangnya ilmu rumahtangga.

Akhir sekali, panel turut menyentuh pengaruh media sosial dalam kehidupan anak muda di zaman sekarang. Beliau menegaskan bahawa kawalan diri dalam penggunaan media sosial adalah penting. Tanpa kawalan diri, individu cenderung untuk mendapatkan perhatian serta pengiktirafan daripada orang yang tidak dikenali. Sehubungan itu, individu perlu tetapkan matlamat dalam penggunaan media sosial dan jangan terlalu taksub dengan dunia media sosial.

 

Share this :