Sesi Read & Relax sudah memasuki siri yang ke 18. Menampilkan dua orang pengulas iaitu Encik Ahmad Fadhli Bin Syed Hassan yang merupakan Pegawai Penerbitan di Penerbit UTM Press dan Encik Muhammad Akmal Bin Ayob, Pegawai Penyelidik daripada Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM. Sesi pada kali ini masih dijalankan secara webinar dan dipancarkan secara langsung melalui Facebook Live Perpustakaan UTM.

Encik Ahmad Fadhli Bin Syed Hassan mengulas buku bertajuk Menulis Biografi: Melakar Kehidupan nukilan Jeniri Amir

Pengulas pertama, Encik Ahmad Fadhli Bin Syed Hassan telah berkongsi sebuah buku yang bertajuk Menulis Biografi: Melakar Kehidupan nukilan Jeniri Amir. Buku ini telah dikeluarkan pada 2013 namun pengulas memilikinya dengan membuat pembelian secara dalam talian pada tahun 2019. Pelbagai topik di kongsikan oleh penulis di dalam buku ini. Antara yang disentuh oleh penulis ialah perbezaan antara memoir, biografi dan autobiografi, ciri dan jenis biografi, alat dan retorik penulisan biografi, teknik memulakan halaman dan bab pertama, penggunaan illustrasi, memberi judul biografi, dan kesilapan atau kelemahan umum dalam penulisan biografi. Buku ini merupakan antara koleksi penulisan biografi yang di miliki oleh pengulas. Mempunyai kulit buku yang menarik dan di tulis oleh penulis yang di kenali juga merupakan antara perkara yang membuatkan pengulas tertarik dengan buku ini. Pengulas mempunyai minat yang mendalam tentang penulisan biografi dan mempunyai pelbagai koleksi dari pelbagai penulis lain.

Buku ini juga menerangkan tentang perkara-perkara asas yang perlu di ketahui oleh seorang penulis sebelum memulakan satu penulisan. Melalui pembacaan buku ini juga pengulas dapat membezakan jenis-jenis penulisan yang di hasilkan oleh penulis-penulis lain yang mana biografi ini bukan hanya menceritakan tentang latar belakang tokoh. Biografi itu juga boleh juga menceritakaan tentang jasa dan sumbangan tokoh-tokoh di dalam bidang mereka kepada masyarakat dan komuniti. Terbitnya buku Menulis Biografi: Melakar Kehidupan ini telah mengisi suatu ruang kosong yang belum pernah diisi oleh mana-mana penulis di negara kita tentang teknik dan panduan penulisan biografi. Malahan,, buku ini juga bermanfaat kepada umum dan juga bukan kepada individu yang terlibat secara professional sahaja kerana bahasa yang digunakan mudah di fahami.

Encik Muhammad Akmal Bin Ayob mengulas buku bertajuk Show And Tell: How Everybody Can Make Extraordinary Presentations

Manakala pengulas kedua pula iaitu Encik Muhammad Akmal Bin Ayob telah mengulas sebuah buku yang bertajuk Show And Tell: How Everybody Can Make Extraordinary Presentations hasil karya Dan Roam. Pengulas membeli buku ini di pesta buku Big Bad Wolf pada tahun 2019. Buku yang diterbitkan pada tahun 2014 ini mempunyai sebanyak 260 muka surat dan mengandungi 6 bab yang sarat dengan ilustrasi menarik dan mudah difahami. Buku ini bertujuan untuk mendidik pembaca tentang teknik dalam menyampaikan sesuatu laporan, penerangan, pitch atau cerita yang dapat menarik minat dan hati pendengar. Pengulas menyatakan terdapat 3 elemen penting yang boleh dijadikan sebagai panduan daripada buku ini, iaitu tell the truth, tell it with a story, dan tell the story with pictures. Melalui ketiga-tiga elemen ini, pembaca dididik agar dapat menyampaikan sesebuah pembentangan dengan lebih baik dan  pendengar dapat bersama-sama menyelami apa yang cuba disampaikan.

Sebagai seorang penyelidik, pengulas merasakan bahawa buku ini sesuai untuk dijadikan panduan untuk melengkapkan diri sebagai seorang pembentang yang baik. Seiring dengan tugas beliau yang sentiasa perlu membuat pelaporan, buku ini banyak membantu dari segi menambahbaik cara dan kaedah untuk membuat pembentangan. Melalui buku ini, pengulas belajar untuk menguasai kaedah mendekati dan memikat hati pendengar. Di samping itu, pengulas turut belajar bagaimana untuk menghasilkan pembentangan yang berimpak dengan menggunakan gambar-gambar, ilustrasi atau infografik. Walaupun buku ini adalah setebal 260 muka surat, dengan gaya penulisan yang santai beserta ilustrasi yang menarik, pengulas dapat menghabiskan bacaan dengan senang dan mudah difahami. Idea-idea yang cuba diketengahkan oleh penulis juga amatlah jelas. Pengulas merasakan bahawa buku ini turut mengajar beliau untuk mengelakkan rasa gugup dan gementar ketika menyampaikan sesebuah pembentangan.

 

Share this :