Sesi Knowledge Sharing gandingan UTM International dan Jabatan Perpustakaan UTM membawakan topik menarik – UTM OGC Sharing Session: How to Effectively Place Your Program Globally. Diadakan pada 23 Disember 2020 jam 3.00 petang bertempat di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Dipancarkan secara langsung menerusi Facebook Perpustakaan UTM dengan penampilan khas bersama PM Dr. Mohd. Ariffin b. Abu Hassan, Timbalan Pengarah, Global Education & Experience (GEE), UTM International . Sesi kali ini dikendalikan oleh Puan Nor Aishah P. Mosar, Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM.
Online Global Classroom (OGC) dibangunkan oleh pihak UTM International yang bertujuan untuk mewujudkan sebuah platform interaksi di antara UTM, pelajar serta rakan universiti yang lain. Matlamatmya adalah supaya pelajar UTM dapat mengikuti program antarabangsa sambil berpeluang untuk berinteraksi dengan pelajar antarabangsa dari universiti lain.
Selain itu, usaha ini diharap dapat mengeratkan lagi kerjasama di antara UTM dan rakan universiti selaras dengan hasrat UTM untuk menyokong aktiviti pengantarabangsaan dan meluaskan lagi rangkaian serta visibiliti UTM.
Penerimaan OGC dalam kalangan warga UTM adalah sangat memberangsangkan. Sehingga kini pihak UTM International telah mempunyai sekitar 60 program OGC yang dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Program ini telah mencatatkan jumlah pelajar seramai 2812 untuk inbound OGC dan 2882 untuk pelajar outbound. Rakan strategik UTM juga memberikan kerjasama yang sangat baik dengan mencalonkan pelajar mereka untuk mengikuti program OGC ini.
Pihak pengurusan UTM sangat menyokong inisiatif OGC dengan menyalurkan dana berjumlah RM280,000 bagi menampung keperluan program. Sejumlah RM130,000 diperuntukkan untuk program inbound OGC dan RM150,000 untuk program outbound OGC. Sebilangan besar fakulti menggunakan dana sepenuhnya untuk mengatur program OGC mereka. Selain menyediakan dana, semua peserta yang mengikuti program ini akan diberikan e-sijil.
Melihat kepada perancangan 2021, OGC akan terus dilaksanakan. Malahan pihak KPT telah mengeluarkan garis panduan agar pelaksanaannya lebih efektif. Ini termasuklah menambahbaik aspek penerbitan dan promosi mengenai aktiviti yang telah dilaksanakan, memperbanyakkan program usahasama dengan universiti yang berada di kedudukan 100 teratas di dunia serta kelestarian program.