Program Book Sharing @ UTMKL telah memasuki tahun ketiga. Pembukaan program ini dengan berbesar hati menjemput Puan Nik Masriza Binti Zakaria selaku Timbalan Ketua Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM dan Encik Mohd Najib Bin Masroom dari Bahagian Pendaftar untuk memulakan sesi perkongsian bagi siri pertama tahun 2021 secara atas talian melalui Facebook Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.
Puan Noor Ayesha Binti Mohd Ezanee selaku moderator telah menjemput Puan Nik Masriza Binti Zakaria untuk memulakan perkongsian. Buku yang bertajuk Good Habits, Bad Habits yang di tulis oleh Wendy Wood. Menurut pengulas, ‘habit’ merupakan kebiasaan atau tabiat yang kita lakukan secara harian. Penulis mengatakan 43% atau separuh aktiviti harian adalah ‘habit’ yang kita buat secara tidak sedar. Oleh itu, manusia gagal mencipta ’habit’ baru kerana sudah terbiasa dengan ‘habit’ lama dan menyebabkan minda di susun atur untuk melakukan perkara yang sama sahaja. Terdapat empat peraturan mencipta habit yang dikongsi oleh pengulas di mana kesimpulannya adalah ‘habit’ itu perlu dilakukan dengan minat, tanpa bebanan dan memberi ganjaran kepaada diri setelah peroleh kejayaan pada akhirnya.

Puan Nik Masriza Binti Zakaria mengulas buku bertajuk Good Habits, Bad Habits
Pengulas turut menyarankan untuk mengelakkan sikap terburu-buru dalam mencapai impian. Sebaliknya perlu fokus dan konsisten dalam proses melaksanakan kebiasaan baru diselangi dengan tindakan yang menjadikan ia lebih seronok dan seterusnya berhasil.
Perkongsian diteruskan lagi oleh Encik Mohd Najib Bin Masroom dari Bahagian Pendaftar, UTM Kuala Lumpur (UTM KL). Beliau memilih buku The Rules of Work, penulis Richard Templar. Menurut beliau, buku ini sesuai dibaca untuk mereka yang tercari-cari cara bagaimana mencipta kejayaan dalam pekerjaan. Penyampai turut berkongsi lima cara yang boleh digunakan untuk melaksanakan tugasan iaitu membuat pelaporan kepada ketua tentang hasil kerja, penulisan yang baik (terdapat perbezaan menulis untuk diri sendiri dan juga untuk bacaan orang lain), buang sifat obses dalam mengharap kepada sesuatu yang boleh mengganggu emosi kehidupan dan kehidupan bermasyarakat.

Encik Mohd Najib Bin Masroom mengulas buku bertajuk The Rules Of Work
Beliau turut memberi nasihat, sebagai pekerja jangan menggambarkan ‘Ketua’ dengan imej yang teruk kerana ketua adalah refleksi kepada jabatan. Jika imej digambarkan teruk oleh orang luar, ia sekaligus mengganggu profil dalaman organisasi. Kesimpulannya, beliau menegaskan perlunya untuk berfikir satu langkah ke hadapan dan lakukan kerja dengan sehabis baik demi masa depan yang cemerlang.