Program BookSharing@UTMKL siri 2/2021 dijalankan secara langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur rentetan daripada pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang diarahkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Program kali ini menampilkan dua orang pengulas iaitu Puan Nur Aishah Binti Samsuri, Penolong Akauntan dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan Encik Mohd Khairul Lufti Bin Amat Mustajab, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat dari Pejabat Perkhidmatan Digital.

Moderator Puan Nurrull Huda Binti Abdul Wahid menjemput Puan Nur Aishah untuk memulakan perkongsian. Beliau memilih buku Kembara Merangkak Puncak, yang ditulis oleh Adam Khan.

Puan Nur Aishah mengulas buku bertajuk Kembara Merangkak Puncak

Menurut beliau, buku ini dipilih kerana beliau tertarik dengan kelebihan yang dimiliki oleh penulis dan mengutamakan soal pembelajaran dalam hidupnya. Tambahnya lagi, semangat juang penulis yang berjaya ke Gunung Everest dalam serba kekurangan perlu dicontohi oleh semua apatah lagi kita semua memiliki fizikal yang sempurna.

Program diteruskan lagi dengan menjemput pengulas kedua iaitu Encik Mohd Khairul Lufti Bin Amat Mustajab. Beliau memilih buku Berdua Lebih Baik yang ditulis oleh Rohani Abdul Rahman. Buku ini mengandungi  tips dari penulis untuk memiliki jodoh, lantaran dari pengalaman penulis sendiri. Sebagai orang islam, tips dan nasihat yang dikongsi oleh penulis segalanya berbalik kepada Allah.

Encik Mohd Khairul Lufti mengulas buku bertajuk Berdua Lebih Baik

Menurut penyampai lagi, penulis secara tidak langsung mengajak pembaca untuk mendekatkan diri kepada Allah, dan seterusnya yakin dalam ketentuan Allah. Namun, usaha dari diri sendiri perlu dilakukan secara berterusan dan jangan mudah mengalah dalam apa jua dugaan.

Di akhir program, moderator mengajak pendengar untuk bersama-sama mengambil semangat juang dan mengutamakan Allah seperti yang disampaikan oleh kedua-dua penulis.

Share this :