Pada 25 Februari 2021 Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan satu Program BookSharing@UTMKL 2021, Siri 4 yang telah diadakan secara  langsung melalui Facebook UTM Library Kuala Lumpur. Dua orang pengulas terdiri daripada Puan Jamilah binti Abd. Talib, dari Pejabat Bendahari UTMKL dan Encik Mohd Azuha bin Mamat, dari Jabatan Harta Bina, UTMKL. Manakala moderator program adalah Encik Nor Iman Ibrahim.

Puan Jamilah binti Abd. Talib selaku pengulas pertama memulakan perkongsian dengan memilih buku Petua Untuk Sentiasa Ceria yang ditulis oleh Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah. Menurut beliau, buku ini sesuai untuk pelbagai peringkat umur. Selain itu juga membantu pembaca untuk mengesan punca tidak ceria dan langkah penyelesaian. Buku ini menyenaraikan sebab-sebab tidak ceria. Antaranya ialah tidak mendapat hidayah, jahil dalam banyak perkara, sifat bodoh sombong, hati yang tidak bersih, tidak mengamalkan ilmu, tidak istiqamah, tidak atau kurang berdoa dan sebagainya. Menurut pengulas, buku ini menyarankan sebagai umat islam seharusnya berbalik kepada Allah S.W.T. dan berpegang kepada landasan yang telah ditetapkan bagi menjamin kebahagian hidup.

Puan Jamilah binti Abd. Talib mengulas buku bertajuk Petua Untuk Sentiasa Ceria

Akhir sekali, pengulas turut berkongsi ilmu bagaimana kita boleh menanamkan sifat syukur  dalam diri dengan kerap melafaz alhamdulillah, mengamalkan zikir, solat, memperbanyakkan amal soleh seperti bersedekah dan sunat berwirid 33 kali selepas solat. Dengan izin Allah, kehidupan seseorang itu bertukar kepada lebih baik.

Encik Mohd Azuha bin Mamat mengulas buku bertajuk SNDROM

Seterusnya pengulas kedua, Encik Mohd Azuha bin Mamat memilih buku SNDROM yang ditulis oleh Saiful Nang. Menurut beliau, buku ini bukan hanya mengajar untuk membina kerjaya melalui fotografi tetapi ia juga menceritakan tentang tips untuk menjadi usahawan yang berjaya. Penulis turut berkongsikan pengalaman kerjaya beliau sendiri seorang jurugambar kampung hingga ke tahap profesional. Pelbagai dugaan dan cabaran yang dihadapi namun beliau dapat membuktikan bahawa kejayaan mampu dikecapi oleh sesiapa sahaja.


Isi kandungan buku yang menarik ini mampu meningkatkan motivasi kepada pembaca untuk menjadi seorang yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Selain itu juga, buku ini boleh dijadikan satu garis panduan kepada jurugambar yang baru berkecimpung untuk memulakan kerjaya dalam dunia fotografi secara amatur hingga ke tahap profesional.

Share this :