Pada 5 April 2021 (Isnin), telah diadakan Program Bicara Karya bertajuk Host dengan panel jemputan iaitu Tuan Shahril Sarapudin  yang merupakan seorang Penulis, Pengacara TV, Emcee, Master Trainer IKON Academy. Manakala moderator adalah Encik Syairul Islam Basmullah, Pelajar UTM MJIIT dan Personaliti RTM. Program diadakan secara siaran langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dari jam 2.30 petang hingga 4.00 petang.


“Kini Bukan Lagi Rahsia, Semuanya Bakal Didedahkan…”. Begitulah tagline untuk buku  ini yang mampu merealisasikan impian setiap insan untuk bergelar pengacara profesional melalui pembangunan personaliti diri sehingga berjaya menarik sepenuh perhatian para penonton kepada program yang dijalankan. Menurut beliau seseorang host perlu bijak serta berkeyakinan tinggi bagi mendepani cabaran dengan sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Tuan Shahril Sarapudin menasihatkan kepada individu yang ingin menceburkan diri dalam bidang pengacaraan samada baru atau lama agar sentiasa menjalankan latihan terlebih dahulu bagi meningkatkan keyakinan diri untuk membentuk karakter. Ayat yang menjadi aspirasi kepada beliau ialah Learning by Doing dimana ia dapat membentuk karakter untuk menjadikan seseorang host yang lebih berkeyakinan dalam bidang pengacaraan. Pengalaman lepas yang diperoleh dalam mengacara program boleh dijadikan panduan dan rujukan untuk menjadi yang lebih baik.

Terdapat tiga elemen penting untuk menjadi pengacara yang versatil sekaligus membina jati diri yang tinggi iaitu personaliti diri, kemahiran berkomunikasi dan bakat yang perlu dipupuk. Suara yang lunak adalah merupakan suatu bonus kepada pengacara walaubagaimanapun lontaran intonasi perlu digunakan dengan cara yang betul dan sesuai bagi menambat hati dan mengelakkan penonton merasa bosan sewaktu program. Aspek lain yang perlu ditekankan ialah kreativiti yang tinggi sebagai pengacara serta kemahiran komunikasi yang baik, lancar dan berkesan.

Setiap pengacara tidak terlepas dengan perasaan gemuruh atau gugup semasa sesi mengacara berlangsung namun terdapat beberapa kaedah yang disarankan bagi mengatasi masalah tersebut iaitu 3F (familiar your script, familiar your audience dan familiar your stage). Penguasaan kepada 3F ini dapat mengubah psikologi pengacara dan seterusnya mampu menguasai pentas program tanpa rasa gentar.

Di akhir program, Tuan Shahril Sarapudin berharap agar buku yang ditulis beliau dapat dijadikan panduan dan rujukan serta kandunganya memberi manfaat kepada pembaca untuk digunakan sebelum, semasa dan selepas mengacara program seterusnya menjadi pengacara yang berjaya. Malah Tuan Shahril Sarapudin juga berbesar hati telah menyumbang 5 buah naskah buku Host kepada Perpustakaan UTMKL untuk dimanfaatkan oleh pengguna di UTM khususnya.

Share this :