Pada tanggal 6 April 2021 (Selasa) telah diadakan Majlis Amanat Ketua Pustakawan dan Persaraan Staf Jabatan Perpustakaan UTM bagi tahun 2021. Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini telah dilaksanakan secara fizikal serta dalam talian yang dihadiri oleh semua staf Jabatan Perpustakaan Johor Bahru, Pagoh dan Kuala Lumpur. Majlis ini turut meraikan staf yang akan bersara, staf yang telah bertukar ke jabatan lain, staf meletak jawatan dan staf yang telah menerima Anugerah Jasa Bakti serta Anugerah Jasa Setia di peringkat Universiti.

Di dalam amanatnya, Ketua Pustakawan memanjatkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran kepada Allah SWT atas limpah rahmat-Nya kerana warga Perpustakaan diberikan kesihatan yang baik serta dapat menjalankan tugas sebaiknya dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia.  Beliau juga tidak lupa untuk mengucapkan tahniah di atas perlantikan Naib Canselor UTM yang ke tujuh iaitu YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail dan mengucapkan terima kasih kepada YBhg. Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, mantan Naib Canselor.  Kedua-duanya merupakan Naib Canselor yang sangat prihatin dan sentiasa memberikan idea-idea bernas bagi mengangkat fungsi Perpustakaan UTM sebagai sebuah nukleas  ilmu pengetahuan universiti. Semoga amanah ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan sokongan penuh oleh warga Perpustakaan.

Puan Ketua Pustakawan turut merakamkan ucapan selamat bersara kepada empat (4) orang staf Jabatan yang akan bersara wajib dan juga pilihan.  Tidak dilupakan ucapan selamat bertugas kepada tujuh (7) orang staf baru dan semoga dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang di Perpustakaan.

Ketua Pustakawan juga mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh Perpustakaan UTM sepanjang tahun 2020 melalui yang pencapaian KAI telah mencapai sebanyak 109% secara keseluruhannya. Antara kejayaan 2020 yang membanggakan adalah pembangunan Sistem OCEAN, UTM Lenses, Virtual Gallery, pelbagai program sinergi dengan pihak dalam dan luar UTM, pelbagai anugerah, aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan kepada pengguna secara dalam talian.

Sebagai penutup, Puan Ketua Pustakawan sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan pengurusan jabatan, pustakawan dan seluruh warga Perpustakaan di UTM Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh. Dikesempatan ini, beliau menitipkan pesanan agar warga Perpustakaan meneruskan kualiti budaya kerja yang cemerlang dan sentiasa menjaga nama baik PTJ serta UTM kerana di sinilah kita meraih keberkatan rezeki. Kerjasama sesama staf merupakan faktor utama dalam menempa  kejayaan sesebuah organisasi. Di samping itu, bermusyawarahlah dalam menangani setiap masalah yang hadir dan bersama-sama memperbaiki kesilapan.

Share this :