Program k-sharing ‘Ingin Cantik, Sihat dan Selamat? Pilihan Di Tangan Anda’ telah diadakan pada 21 April 2021 secara langsung menerusi Facebook Perpustakaan UTM. Panel jemputan adalah Dr Mariani binti Abdul Hamid, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UTM dan juga pengasas Dermags Skin Solution.

Panel memulakan perkongsian dengan anatomi dan fisiologi struktur kulit dan kepentingan penjagaan kulit pada seluruh tubuh badan manusia. Kulit mengalami proses penuaan disebabkan oleh faktor usia serta faktor dalaman dan luaran. Kulit mengalami proses penuaan seawal umur 20 tahun dan kandungan kolagen semakin berkurangan mengikut umur. Punca kepada penuaan kulit lebih awal adalah disebabkan pencemaran udara, kurang tidur, stress, hormon tidak seimbang, diet tidak sihat dan sebagainya. Oleh yang demikian untuk mendapatkan kulit yang sihat, gaya hidup sihat adalah sangat penting.

Kulit yang terdedah kepada sinaran UV boleh menyebabkan kerosakan kepada kulit seperti sunburn, kekeringan dan penuaan kulit lebih awal. Sinaran UV terbahagi kepada tiga (3) jenis iaitu sinaran UVC, UVB dan UVA. Kulit yang terdedah kepada sinaran UVA dalam jangka masa lama boleh menyebabkan kerosakan kepada DNA dan boleh menyebabkan kanser kulit.

Menurut panel, terdapat pelbagai jenis produk kosmetik yang berada di pasaran sekarang di mana mengandungi bahan merkuri. Kandungan merkuri yang tinggi akan menyebabkan kanser kulit dan keguguran kandungan dan akan menyebabkan kulit akan menjadi semakin kusam kerana penggunaan merkuri yang lama selain menyebabkan ia mendap ke dalam lapisan kulit. Menurutnya lagi, kulit yang sihat adalah amat penting dari kulit yang putih kerana kebanyakan produk pemutih sekarang memberi hasil yang sangat cepat tetapi kesannya akan mengakibatkan kerosakkan kulit kerana terdapat campuran kimia di dalam produk tersebut.

Di akhir program,beliau menjelaskan bahawa penting untuk kita memilih produk yang tidak mengandungi bahan kimia kerana kesan pengambilan berlebihan akan menyebabkan kulit menjadi semakin teruk dan berjeragat. Sekiranya seseorang mengalami masalah kulit, perlu mendapatkan nasihat dari pakar perubatan serta menggunakan produk kecantikan yang bersesuaian.

Share this :