Program perkongsian ilmu “Tunaikan Zakat Sebelum Terlambat” anjuran Perpustakaan UTM Kuala Lumpur merupakan sinergi bersama Pusat Pungutan Zakat (MAIWP) dan Pusat Islam UTM Kuala Lumpur.  Moderator adalah Ustaz Khairudin Ramli manakala panel penceramah adalah wakil PPZ (MAIWP), Ustaz Mohd Dziyaulhak Hashim.  Program ini berlangsung selama sejam dari 10.00 pagi sehingga 11.00 pagi secara langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan  Pusat Islam UTM Kuala Lumpur.

Di awal perkongsian panel menyatakan zakat merupakan mekanisma untuk melatih dan memupuk sikap dermawan serta mengikis sikap bakhil dalam kalangan ummah kerana harta di dunia adalah milik Allah.  Oleh itu, di dalam bahagian harta terdapat bahagian untuk golongan fakir miskin, asnaf dan lain-lain.  Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah sebagai seorang muslim untuk menunaikan zakat sebagai langkah bagi membuka pintu keberkatan serta diharap dapat menjadi asbab memperoleh kebaikan yang lain.

Seterusnya Ustaz Mohd. Dziyaulhak Hashim memberi peringatan kepada mereka yang mengingkari syariat zakat dengan memetik sebuah kisah di mana seorang hamba Allah bekerja tanpa menunaikan kefarduan zakat telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM2 juta.  Akan tetapi usai bersara, penyakit misteri datang menyerang sehingga habis harta yang disimpan untuk merawat penyakit.  Kesimpulannya harta yang tidak dikeluarkan zakat akan hilang keberkatannya dan sehingga dapat meracuni dan menjadi parasit harta kita.

Seterusnya panel berkongsi peranan pihak berkaitan dalam memberi kesedaran tentang syariat zakat kepada masyarakat.  Antara yang telah dijalankan adalah memberikan kesedaran melalui tabligh dan dakwah kepada masyarakat.  Di samping itu juga, pihak pungutan zakat telah menjalankan inisiatif-inisiatif lain seperti khairat kematian kepada pembayar zakat, pembayaran cukai kepada pembayaran zakat, serta Program Wahalah di mana 50% bayaran zakat akan dikembalikan kepada institusi yang mengutip zakat untuk diagihkan sendiri kepada golongan memerlukan.  Selain itu, Pusat Zakat turut mempergiatkan sinergi dengan institusi-institusi lain bagi menjayakan program ini.

Panel juga turut menerangkan syarat wajib golongan yang perlu mengeluarkan zakat iaitu Islam, merdeka, cukup haul, nisab serta pemilikan penuh.  Manakala golongan yang berhak menerima zakat adalah orang fakir, orang miskin, mualaf, amil (petugas zakat), perhambaan, Raqimin (berhutang), golongan fisabilillah, dan musafir.

Ustaz Mohd Dziyaulhak Hashim menjelaskan bagaimana dengan syariat zakat mampu membangunkan ummah dan pemangkin sosio ekonomi ummah.  Perasan institusi zakat juga telah diperluaskan dengan menjalankan pelbagai inisiatif seperti pendidikan serta latihan kemahiran  kursus memasak, pertukangan, pendidikan pentadbiran dan pengurusan dan banyak lagi.  Program-program ini ditawarkan kepada asnaf dengan matlamat untuk mengubah dan menambah baik kehidupan. Program berakhir pada jam 11.00 pagi dengan sesi soal jawab berkaitan zakat yang diajukan oleh penonton.

Share this :