KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Eksplorasi Budaya dan Warisan Malaysia bertempat di Global Language & Cultural Village (GLCV), Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Program yang melibatkan seramai 46 mahasiswa Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia ini bertujuan memperkenalkan budaya, warisan dan identiti Malaysia melalui perkongsian ilmu serta pelbagai aktiviti berasaskan pengalaman.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Datin Nik Masriza binti Zakaria, Ketua Bahagian Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, diikuti dengan ucapan daripada Dr. Rasheed bin Mohamed Kutty, Pengurus UGS Kuala Lumpur.

Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian ilmu bertajuk “Ini Kraf Malaysia” yang disampaikan oleh Encik Faizul Azha bin Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepelbagaian seni kraf sebagai sebahagian daripada warisan budaya Malaysia, di samping meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan pemeliharaan dan penghargaan terhadap seni kraf tempatan. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia turut mengadakan pameran produk kraf tempatan sepanjang program berlangsung.

Para peserta kemudiannya berpeluang merasai sendiri pengalaman mewarna batik sebagai salah satu seni tekstil tradisional Malaysia. Program turut dimeriahkan dengan permainan tradisional seperti congkak, ceper, tating lawi, batu seremban dan teng-teng, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa UNNES untuk mengenali warisan budaya Malaysia melalui pengalaman secara langsung.

Penganjuran program ini turut mengetengahkan Global Language & Cultural Village (GLCV) sebagai platform pembelajaran budaya dan pertukaran ilmu yang menghubungkan pelajar antarabangsa, pelajar tempatan serta komuniti perpustakaan.

Inisiatif ini sekali gus memperkukuh peranan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sebagai hab ilmu, budaya dan pengalaman pembelajaran global selaras dengan aspirasi UTM Ascend, di samping membuka ruang kepada interaksi silang budaya serta meningkatkan penghargaan terhadap warisan budaya.

Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UGS Kuala Lumpur, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini.

Share this :
UTM Open Day