Tahniah dan syabas kepada Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (UTM KL) yang telah berjaya membentangkan dua (2) kertas penyelidikan di Persidangan Tahunan Perpustakaan (PTPM) Malaysia 2021 secara maya yang bermula pada 14 hingga 18 Jun 2021. Tema persidangan pada tahun ini adalah “Duduk@Rumah: Perpustakaan dan Pustakawan Bergelut Semasa Pandemik”.

Lebih 600 peserta terdiri daripada pustakawan seluruh Malaysia telah menyertai persidangan tahunan ini. Menariknya terdapat juga penyertaan khas dari Universiti Gadjah Mada dan  Airlangga Universiti, Indonesia. Terdapat enam (6) sesi pembentangan kertas persidangan, satu pembentangan poster dan dua (2) pembentangan pantas yang melibatkan 61 orang pembentang. Tiga (3) orang pustakawan Perpustakaan UTM KL telah terlibat iaitu Pn Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan UTMKL, Pn Nurull Huda Abdul Wahid, Pustakawan Kanan dan Pn Noor Ayesha, Pustakawan.

Setiap sesi persidangan mempunyai tema dan objektif tersendiri. Kertas penyelidikan bertajuk “Penganjuran Program Book Sharing@UTMKL di kala Pandemik dan Impak Terhadap Minat Membaca serta Budaya Ilmu dalam Kalangan Staf UTM Kuala Lumpur” telah dibentangkan pada sesi empat (4) persidangan tersebut. Manakala kertas penyelidikan kedua “Gallery@UTMKL:  Penubuhan, Cabaran dan Perancangan Masa Hadapan” telah dibentangkan pada sesi lima (5) persidangan. Kedua-dua pembentangan mengambil masa selama 15 minit telah mendapat sambutan dan maklumbalas yang menggalakkan dari peserta.

Walaupun berhadapan dengan pandemik Covid-19, semua perpustakaan dan pustakawan telah berjaya menghadapi cabaran ini melalui kreativiti produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang inovatif agar berimpak kepada komuniti. Semoga penyertaan seperti ini dapat diteruskan dan menjadi batu loncatan untuk Perpustakaan UTM Kuala Lumpur terus kekal dinamik dan meningkatkan peranan dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Share this :