Lanjutan Sekatan Pergerakan Penuh dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun 2021, Kelab Keluarga Staf Perpustakaan UTM (KKSPUTM) sekali lagi meneruskan kecaknaannya menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan asas serta wang tunai kepada 19 orang staf dan tiga mantan staf Jabatan Perpustakaan yang telah dikenalpasti memerlukan bantuan kewangan bagi meringankan kos sara hidup semasa mereka.

Sumbangan yang diberikan kepada penerima merupakan hasil pengumpulan dana daripada pelbagai pihak termasuk  pengurusan perpustakaan, staf dan mantan staf Jabatan Perpustakaan serta penyumbang luar. Sambutan yang diterima amat baik dan dalam masa yang singkat pihak penganjur telah berjaya mengumpulkan sumbangan yang dikehendaki.

Penyampaian sumbangan yang dijalankan pada 11 Jun 2021 yang diwakili oleh ahli KKSPUTM sendiri iaitu Tuan Haji Nazeri Sarip, Saudara Mohd Fikri Ismail dan Saudara Zul Izuan Hanafiah telah berjalan dengan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

KKSPUTM sentiasa prihatin dengan kebajikan ahli-ahlinya yang terkesan oleh pandemik Covid-19. Dengan pelaksanaan inisiatif ini amatlah diharapkan agar ahli KKSPUTM serta staf Jabatan Perpustakaan yang berkemampuan dapat menyalurkan bantuan kepada rakan-rakan sekerja yang amat memerlukan. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka dan memberi sedikit kegembiraan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini.

 

Share this :