Siri ke lapan program Read & Relax di Perpustakaan UTM Johor Bahru (UTM JB) telah dijalankan pada 17 Jun 2021 dengan menjemput dua (2) orang pengulas iaitu Kapt. Mohd Syawal Bin Mohamed Abdul Fatah, Ahli Muzik dari Unit Kebudayaan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UTM JB. Manakala pengulas kedua iaitu Puan Norhanimusliatun Bt Abu Bakar, Pembantu Tadbir, Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan & Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan, UTM JB.

Pn. Nas Rashidah Mohd Mustaza selaku moderator program

Pengulas pertama iaitu Kapt. Mohd Syawal Bin Mohamed Abdul Fatah telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk You’ll Die in Singapore hasil karya Charles McCormac. Buku ini bergenre Non Fiction dan sesuai untuk dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. Ia mengisahkan  tentang seorang tentera Royal Australia berpangkat sarjan daripada Squadron 205 yang telah dijadikan tawanan perang oleh tentera Jepun ketika zaman pendudukan Jepun pada tahun 1941. Beliau telah dimasukkan ke dalam kem tahanan di Pasir Panjang, Singapura selama 3 bulan sebelum beliau berjaya melarikan diri ke Australia untuk melepaskan diri daripada seksaan tentera Jepun. Perjalanan beliau melarikan diri telah mengambil masa selama 6 bulan dan sejauh 2000 batu. Melalui buku ini, pengulas dapat mengenali sejarah dengan lebih dekat kerana ia menceritakan sebuah kisah benar yang mana pengarang sendiri adalah watak utama dalam peristiwa tersebut.

Kapt. Mohd Syawal Bin Mohamed Abdul Fatah mengulas buku bertajuk You’ll Die in Singapore.

Pengulas turut berkongsi impak buku ini kepada pendengar. Antara lain ianya melahirkan rasa bersyukur dengan menjadikan kisah pada zaman peperangan dahulu sebagai satu iktibar, memupuk semangat setia kawan di kalangan rakan sepasukan (Camaraderie, Esprit de Corpe) dan ianya sentiasa perlu diterapkan di dalam budaya kerja seharian. Selain itu, ia turut mengajar ‘Survival Skill’ untuk kelangsungan hidup tidak kira dalam apa jua keadaan. Pengulas juga mengaitkan kisah ini dengan pepatah melayu “Nak seribu daya, tak nak seribu dalih”.

Manakala pengulas kedua pula iaitu Puan Norhanimusliatun Bt Abu Bakar telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Panduan Lengkap Formula Solat Sempurna yang dihasilkan oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman. Formula solat sempurna ini dijelaskan kepada pembaca melalui pendekatan yang mudah dan mantap berkenaan cara menunaikan solat secara lebih sempurna iaitu dengan menggabungkan sunat-sunat semasa solat bersama rukun dan syaratnya. Pengulas menyatakan bahawa keistimewaan buku ini terletak pada kupasannya yang ringkas dan padat. Penulis membawakan nas-nas yang terbaik hasil ijtihad daripada para ulama hadis silam dan semasa. Kandungan buku ini disusun dalam bentuk yang menarik mengikut kronologi pergerakan solat dan kemudian disusuli dengan nas-nas warid daripada Nabi SAW. Pengulas turut menyentuh huraian yang amat berguna berkaitan khusyuk, masalah dan punca kehilangannya dewasa ini. Di samping itu, pengulas turut menzahirkan rasa kebesaran terhadap kekuasaan Allah SWT.

Puan Norhanimusliatun Bt Abu Bakar mengulas buku bertajuk Panduan Lengkap Formula Solat Sempurna.

Pengulas membuat kesimpulan bahawa kunci utama solat adalah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh yang demikian, sebagai umat-Nya kita perlu berusaha untuk meneguhkan keimanan terhadap Allah SWT. Khusyu’ dalam solat bermula daripada keadaan kita di luar solat di mana ketenangan diri amat memainkan peranan penting. Pengulas berharap agar dengan memahami tatacara solat dengan dalil daripada ulama dan mazhabnya, ianya dapat memantapkan lagi solat kita agar lebih sempurna.

Share this :