Pada 21 Julai yang lalu, telah diadakan Program Book Sharing Perpustakaan UTM Kuala Lumpur Siri 6/2021. Siri terakhir ini telah melibatkan 2 orang staf iaitu Encik Mohd Yusri bin Osman (Pembantu Pustakawan), Puan Yasmin binti Hamzah (Pembantu Operasi) dan seorang pelajar praktikal Cik Shakira Ilmi binti Sa’adon ( Pelajar Praktikal UiTM Puncak Perdana) manakala, Cik Aimie Sofea binti Mohd Asri yang merupakan pelajar praktikal UiTM Rembau, Negeri Sembilan telah ditugaskan sebagai moderator pada kali ini.

Pengulas pertama iaitu Encik Mohd Yusri bin Osman telah membuat perkongsian buku pilihan beliau berjudul Kesedaran Keselamatan Siber yang dikarang oleh Madihah Mohd Saudi. Menurut beliau, penggunaan komputer, peranti mudah alih dan telefon pintar adalah suatu kemestian ketika ini dan kerana itulah, berlakunya peningkatan ancaman siber. Menurut penulis terdapat 5 pihak yang bertanggungjawab berkaitan ancaman siber di Malaysia ialah Cyber Security Malaysia, Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Kerajaan (GCERT), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) dan Majlis Keselamatam Negara (MKN).

Encik Mohd Yusri bin Osman mengulas buku bertajuk Kesedaran Keselamatan Siber

Menurut beliau, ancaman siber ini meliputi jenayah perbankan melalui internet, penipuan kad kredit, pencerobohan maklumat, kecurian kata laluan dan harta intelek, dan juga ransomware. Oleh itu, beliau mencadangkan agar pengguna gajet menggunakan anti virus yang baik dan pasang perisian secara terus dari sumber yang boleh dipercayai dan elakkan memasang perisian melalui pihak ketiga bagi mengelakkan diri jadi mangsa penipuan dan sebagainya. Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau mencadangkan agar pengguna menggunakan laman web yang tepat serta menggunakan kata kunci keselamatan yang baik bagi meningkatkan keselamatan maklumat kerahsiaan.

Perkongsian diteruskan lagi dengan menjemput Puan Yasmin binti Hamzah (Pembantu Operasi) dengan buku pilihanya yang berjudul ‘Allah Kan Ada’ , penulis The Bingkisan Hati. Buku ini dipilih bersesuaian dengan tragedi yang pernah menimpa beliau pada 2019, apabila kehilangan orang tersayang iaitu ibunya. Menurut beliau, tragedi itu mendidik beliau untuk menyedari hakikat bahawa ibunya juga milik Allah. Lantaran dari peristiwa itu, beliau pelajari hikmah kehilangan dan mengakui bahawa tiada yang kekal di dunia ini melainkan Allah. Perkongsian penuh ‘rasa’ ini berjaya membuka mata hati setiap yang mendengarnya, bahawa janji Allah itu pasti berlaku tanpa lewat walau sesaat. Jika Allah berkehendakkan sesuatu, maka jadilah ia.

Puan Yasmin binti Hamzah mengulas buku bertajuk Allah Kan Ada

Perkongsian diteruskan oleh  Cik Syakira Ilmi binti Sa’adon dengan buku pilihannya yang berjudul ‘Rahsia Survivor Kanser’ oleh majalah iSihat & Mingguan Malaysia. Pemilihan buku ini adalah berdasarkan kepada pengalaman beliau sendiri, iaitu apabila bapanya disahkan menghidapi kanser hempedu tahap 4 sekaligus, mendorong dirinya untuk mencari dan mendalami ilmu berkaitan kanser. Antara maklumat yang diperoleh dari buku ini adalah jenis makanan yang boleh menyebabkan kanser contohnya minuman yang tinggi dengan gula, makanan yang diproses, makanan tinggi lemak, makanan sodium dan pengambilan daging merah. Makanan ini perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko kanser atau menggalakkan tumbesaran sel kanser. Beliau mencadangkan agar pendengar mengamalkan pengambilan makanan neutral seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan herba serta rempah ratus bagi mengawal dan merawat kanser.

Cik Syakira Ilmi binti Sa’adon mengulas buku bertajuk Rahsia Survivor Kanser

Di akhir perkongsian, beliau juga mencadangkan agar pendengar mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman fizikal, pengambilan air yang banyak di waktu siang, amalan diet yang sihat juga pemeriksaan berkala antara kaedah untuk mencegah kanser.

Share this :