Program BookSharing@UTMKL 2021/Siri 12 telah diadakan pada 22 Julai yang lalu. Seperti kebiasannya, 2 orang staf telah diberi peluang untuk berkongsi buku bacaan mereka. Staf yang terpilih adalah Encik Rahman bin Dol Jalal (Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Pejabat Perkhidmatan UTM Digital Kuala Lumpur) dan Encik Mohd Ansani bin Othman (Penolong Jurutera, Jabatan Harta Bina), manakala Cik Aimi Sofea binti Mohd Asri (Pelajar Prakitikal, UiTM Puncak Perdana) merupakan moderator program kali ini.

Encik Rahman bin Dol Jalal telah dijemput untuk memulakan perkongsian dengan buku pilihannya yang bertajuk Vaksin: Antara Babi, Yahudi & Konspirasi hasil penulisan Prof. Dr. Azizi Ayob. Beliau mengatakan bahawa buku ini dihasilkan oleh seorang doktor yang juga pakar dalam bidang R&D farmaseutikal dan juga pernah terlibat dalam pembuatan ubat-ubatan dan vaksin.

Encik Rahman bin Dol Jalal mengulas buku bertajuk Vaksin: Antara Babi, Yahudi & Konspirasi

Menurut penulis, vaksin mampu mencegah kemudaratan sesuatu penyakit serta mempersiapkan kekebalan tubuh. Imuniti kelompok dapat dicapai dalam kalangan masyarakat di sesuatu tempat dengan pengambilan vaksin. Pengulas mencadangkan agar, pendengar yang keliru atau antivaksin bagi membaca buku ini sebagai persediaan meneroka ilmu dengan lebih mendalam sebelum sesuatu keputusan dibuat.


Pengambilan vaksin seperti influenza jenis B, tibi dan campak mampu mencegah awal penyakit. Oleh itu, melalui buku ini masyarakat akan lebih maklum bahawa penggunaan vaksin ini bukan sekadar untuk menyembuhkan penyakit tetapi juga akan menyekat penyebaran sesuatu penyakit jika digunakan secara betul dan tepat. Kesimpulannya, kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, langkah pencegahan awal perlu diambil bagi membendung penularan penyakit.

Program diteruskan dengan perkongsian dari Encik Mohd Ansani bin Othman dengan buku pilihannya My Way Of Parenting yang ditulis oleh Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Encik Mohd Ansani bin Othman mengulas buku bertajuk My Way Of Parenting

Buku ini berkongsi mengenai pengalaman serta tips menarik dengan disulami nasihat dalam mendidik dan membimbing anak-anak melalui spektrum yang berbeza.  Pelbagai isu dan topik dibincangkan antaranya mengenali personaliti dan sifat anak-anak, perbezaan membesarkan anak lelaki dengan anak perempuan, cara percakapan dan perbuatan dalam mendidik anak-anak dan juga pendedahan anak terhadap pelbagai aktiviti.

Menurut fakta, otak bayi berkembang 90% sehingga umur 5 tahun dan mereka akan berkembang secara perlahan sehingga peringkat dewasa. Ibu bapa perlu lebih berhati-hati dalam mendidik dan membimbing anak-anak kerana mereka memiliki sifat ‘hunger’ dan ‘hungry’.


Oleh itu, anak-anak perlu melalui proses pembelajaran  semulajadi. Biarkan mereka berdikari dan melakukan rutin harian sendiri dengan pemantauan oleh ibu bapa. Beliau menambah, penggunaan gajet kepada anak-anak tidak disarankan tetapi ibu bapa perlu lebihkan masa bersama anak-anak dengan melakukan pelbagai aktiviti harian demi perkembangan mental dan fizikal anak-anak. Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau menyatakan bahawa ibu bapa perlu sentiasa berfikiran positif dan menujukkan nilai contoh yang baik kepada anak-anak kerana ibu bapa merupaka model pertama anak-anak dalam perjalanan menuju ke alam dewasa.