Program Bual Bicara Merdeka telah diadakan secara atas talian pada 14 September 2021, yang bertajuk “Jalan Merdeka, Melihat ke Hadapan”. Program telah dipengerusikan oleh Puan Siti Salamah selaku mantan Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur, manakala jemputan khas program ini adalah seorang figura hebat yang merupakan sasterawan tersohor Malaysia iaitu Dr. Lim Swee Tim. Program pembudayaan ilmu ini adalah anjuran Perpustakaan UTM bersinergi bersama Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat dan Bahagian Pendaftar UTM Kuala Lumpur bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat UTM Kuala Lumpur bagi tahun 2021.

Sedikit latar belakang ahli panel, beliau dilahirkan di Kelantan dan berketurunan peranakan Cina. Kecintaan terhadap “Melayu” dan minat beliau yang sangat tinggi untuk mendalami kefahaman dan  budaya Melayu itu sendiri, telah mendorong beliau untuk menceburi bidang kesusasteraan dan seterusnya menghasilkan karya-karya yang hebat bukan sahaja di dalam malah ke luar negara. Beliau turut  memperoleh pelbagai pencapaian yang amat membanggakan menerusi pelbagai penulisan yang berprestij  membuktikan lambang jati diri yang utuh buat Malaysia.

Bumi Bertuah Malaysia telah menyusuri Kemerdekaan selama 64 tahun, beliau menegaskan supaya untuk mengekalkan semangat cintakan negara, kita perlu menanam sifat jati diri yang kukuh dalam diri setiap rakyat Malaysia, agar tidak mudah goyah dengan ancaman dan anasir pihak luar. Kesepakatan, keharmonian, kesediaan dalam istilah “Hidup Bersama” di bumi Malaysia ini, perlu dipupuk agar teguh untuk kita menjadi penghuni yang baik, seterusnya melancarkan tadbir urus negara dengan lebih kondusif seperti yang dikongsi di dalam penulisan buku beliau iaitu “Cakerawala Kemerdekaan”.

Penerapan citra identiti suatu bangsa adalah sangat perlu bagi mengikut acuan yang betul seperti penggunaan Bahasa Melayu itu sendiri membuktikan penyatuan dalam meluahkan serta menzahirkan rasa cinta kepada negara berasaskan  prinsip-prinsip rukun negara. Antara elemen lain yang perlu bagi melahirkan rasa kecintaan pada tradisi yang pelbagai, memupuk rasa kekeluargaan dan nilai-nilai murni supaya dapat diserap oleh masyarakat. Beliau turut menyatakan amat menyukai akan kesenian Peteri, Dikir Barat, Mak Yong dan Wayang Kulit yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Ianya satu pesona dalam konteks keseniaan menyatukan masyarakat yang majmuk di Malaysia.

Dalam menghadapi keadaan masyarakat pada hari ini, kita tidak mempunyai banyak pilihan selain perlu menyemat dan mengukuhkan benteng jati diri dalam dan luar bagi menghadapi gelombang globalisasi yang mencabar dan bergerak pantas. Justeru, kita perlu menyemai semangat patriotisme yang kuat dan teguh bukan sahaja sebagai simbolik semangat cintakan tanah air, malah ia juga lambang kesetiaan berbakti agar negara tidak mudah ditembusi oleh anasir luar.

Bermula 2020 sehingga kini kita berhadapan dengan krisis Covid-19, yang tidak pasti dimana penghujungnya. Oleh itu, dalam menghadapi keadaan yang sukar ini, kita perlu memperkukuhkan semangat dalam menggalas tugas dan tanggungjawab bersama seperti yang telah dirancang oleh pihak kerajaan. Beliau turut mengingatkan kita, agar jangan mudah berasa selesa, sekiranya endemik diisytiharkan seharusnya kita perlu lebih bersedia, kekal positif dan terus memandang ke hadapan.

Rukun negara digubal selepas berlaku peristiwa hitam pada 13 Mei 1969. Lima prinsip yang sangat jelas menjadi “pakaian kenegaraan” kita demi kesejahteraan negara Malaysia. Bagi memperkasa semangat patriotisme dikalangan anak muda, semua pihak perlu bekerjasama berganding bahu memberi kefahaman dengan menyediakan lebih banyak ruang lain untuk berkarya seperti penghasilan seni lukis, memperbanyakkan filem dan drama-drama berunsurkan semangat cintakan negara, bercirikan kasih kepada tradisi, kedamaian, memupuk keyakinan dan kepercayaan yang berwarna warni dalam kehidpan masyarakat Malaysia. Dengan berbuat demikian, hal ini akan menjadikan kita rakyat Malaysia yang serupa dan seragam, seterusnya memupuk nilai-nilai semangat cintakan negara Malaysia ke seantero dunia.


Dipenghujung sesi ini, ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada panel jemputan atas kesudian beliau untuk berkongsi ilmu dan pandangan yang sangat menusuk jiwa. Di akhir perkongsian ini, beliau berbesar hati mendeklamasi sajak yang bertajuk “Sahabat, Mari Kita Terus Berharap”.

Share this :