Perpustakaan UTM telah menerima kunjungan daripada YBrs. Dr Ghazali Mohamed Fadzil selaku Ahli Majlis, Persatuan Pustakawan Malaysia pada 11 November 2021. Kehadiran beliau disambut oleh Puan Nor Asikin Mohamad, Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM dan wakil pengurusan yang lain di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Lawatan dimulakan dengan sesi perbincangan serta perkongsian pengalaman beliau sepanjang berkhidmat dalam dunia kepustakawanan. Turut dibincangkan tips serta perancangan strategik masa hadapan yang perlu dilaksanakan oleh semua pustakawan.

Lawatan diteruskan ke Galerium UTM yang terletak di Aras 2, Bangunan PSZ. YBrs. Dr Ghazali Mohamed Fadzil  begitu teruja dengan himpunan serta pengurusan artifak dan khazanah UTM yang dipamerkan. Beliau berpendapat bahawa Perpustakaan UTM mempunyai khazanah yang tidak ternilai harganya dan berpotensi menjadi pusat tumpuan para penyelidik dari dalam dan luar negara. Beliau turut mencadangkan beberapa inisiatif yang wajar dilakukan oleh  Perpustakaan UTM dalam memastikan maklumat khazanah ini sampai kepada penyelidik melalui pelbagai medium.

Seterusnya, pelawat telah dibawa ke Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) bagi melawat Galeri Raja Zarith Sofiah yang menghimpunkan koleksi bahan bacaan peribadi milik Yang Mulia Raja Zarith Sofiah, Tuanku Canselor UTM. Turut dilawati ialah Galeri Penyelidik yang menyimpan maklumat kejayaan penyelidik tersohor UTM serta hasil penyelidikan mereka.

Sepanjang sesi lawatan berlangsung, pelbagai maklumat dan ruang penambahbaikan yang dicadangkan oleh beliau. Semoga ianya menjadi titik tolak kepada ruang kerjasama yang lebih strategik antara Perpustakaan UTM dan  YBrs. Dr Ghazali Mohamed Fadzil di masa hadapan. Sesi lawatan berakhir pada jam 1.00 tengah hari.

Share this :