Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru telah menerima kunjungan YBhg. Tan Sri Dr. Salleh bin Mohd Nor, Pro Canselor UTM pada 19 November 2021. Kehadiran beliau telah disambut oleh Puan Nor Asikin Mohamad, Ketua Pustakawan UTM serta wakil pengurusan Perpustakaan UTM yang lain di Foyer Perpustakaan. Lawatan telah dimulakan dengan sesi lawatan ke ruang pameran di Lobi Perpustakaan UTM yang menempatkan gambar-gambar bersejarah mengenai UTM khususnya. YBhg. Pro Canselor turut mengambil kesempatan untuk mengimbau kenangan serta menceritakan beberapa kisah mengenai gambar-gambar yang dipamerkan.

Lawatan diteruskan ke Galerium UTM yang terletak di Aras 2, Bangunan PSZ. YBhg. Tan Sri Dr. Salleh bin Mohd Nor begitu teruja dengan himpunan bahan artifak dan khazanah UTM yang dipamerkan dan ada diantara barangan yang dipamerkan pernah digunakan beliau sewaktu berkhidmat dahulu. Beliau turut berkongsi dengan barisan pengurusan Perpustakaan cara menggunakan peralatan Radial Line Plotter yang kebiasaannya digunakan oleh Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi pada tahun 1960an. Alat ini digunakan bagi memudahkan kerja-kerja lakaran dan pemindahan data daripada foto udara kepada peta sebenar.

Sebelum mengakhiri lawatan, YBhg. Tan Sri Dr. Salleh bin Mohd Nor telah dijemput melawat ruangan Aspirasi yang menempatkan sumbangan koleksi peribadi beliau. Lawatan Berakhir jam 1.30 tengah hari dengan sesi bergambar bersama pengurusan Perpustakaan UTM.

Share this :