Siri ke-tujuh belas program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 16 Disember 2021 dengan menjemput  dua orang pengulas iaitu Encik Muhammad Amiruddin Bin Mohd Yusof dan Cik Nurul Amani Syaza Binti Mohd Azham. Mereka ini merupakan pelajar sarjana muda daripada UiTM kampus Rembau yang sedang mengikuti latihan industri di Perpustakaan UTM.

Encik Muhammad Amiruddin Bin Mohd Yusof mengulas sebuah buku yang bertajuk Jentik Sikit! “Dalam Menjentik Ada Mendidik”.

Panel pertama iaitu iaitu Encik Muhammad Amiruddin Bin Mohd Yusof telah berkongsi kandungan daripada sebuah buku yang bertajuk Jentik Sikit! “Dalam Menjentik Ada Mendidik” oleh Syeikh Ahmad Faisol Hj. Omar. Buku ini merupakan sebuah karya motivasi yang bertemakan fiqh dan akhlak di mana hukum-hakam dalam kehidupan beragama turut diketengahkan. Setiap bab mempunyai kisah yang tersendiri di mana setiap satu penceritaan akan disusuli dengan pengajaran dan iktibar yang boleh pembaca peroleh. Pengulas memberi pandangan bahawa segenap aspek kehidupan kita ini perlulah ditimba dengan ilmu dan tidak hidup dalam kejahilan. Di samping itu, kehidupan kita itu akan lebih tertib seandainya kita mengingati hakikat bahawa setiap amal itu adalah dengan niat, justeru ia dapat diaplikasikan juga dalam kehidupan seharian untuk hidup dengan lebih jujur dan ikhlas sepertimana kita memantapkan niat dalam amal ibadat khusus kepada Tuhan.

Cik Nurul Amani Syaza Binti Mohd Azham mengulas sebuah buku yang bertajuk You Are Loved.

Manakala panel kedua pula Cik Nurul Amani Syaza Binti Mohd Azham telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk You Are Loved hasil karya Mizi Wahid. Buku ini memberi tumpuan kepada pemupukan jiwa manusia masakini yang semakin hilang rasa kasih sayang pada diri sendiri. Akibat daripada itu, seseorang itu akan merasakan bahawa dirinya tak berguna, tidak layak untuk dikasihi atau dicintai, dan lebih buruk lagi seseorang itu akan membenci dirinya sendiri. Pengalaman penulis buku ini sebagai seorang kaunselor dikongsikan melalui penceritaan kisah-kisah yang pernah dihadapinya sendiri dan beliau dapat melihat bahawa dengan kasih sayang, sekeras-keras jiwa juga boleh menjadi lembut dan bersedia untuk hidup dengan aman dan bahagia. Pengulas menyatakan bahawa pengajaran yang diperolehnya daripada pembacaan buku ini ialah dia dapat mengetahui hakikat diri bahawa untuk menyayangi diri sendiri tidak perlu menunggu untuk melakukan sesuatu yang gah di mata orang lain.

Share this :