Tahniah dan syabas diucapkan kepada Kumpulan SmartPro yang mewakili Jabatan Perpustakaan UTM kerana telah memenangi tempat ketiga dan penarafan anugerah emas bersempena Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) kali ke 14 peringkat UTM tahun 2021. Konvensyen tersebut telah berlangsung secara atas talian melalui platform zoom pada 27 Disember 2021 dengan bertemakan “Inovasi Pemangkin Penyampaian Berprestasi Tinggi”.

Kumpulan SmartPro yang terdiri dari tujuh (7) orang staf Unit Perolehan, Seksyen Pembangunan Sumber dan Katalog telah menampilkan projek inovasi dalam kategori pengurusan yang bertajuk “Pengurusan Lejar Mengambil Masa yang Lama”. Projek ini menumpukan kepada kaedah untuk menangani masalah penyediaan dan pengurusan lejar kewangan Unit Prolehan yang didapati mengambil masa yang lama dan kurang efisien.

Lejar adalah laporan perangkaan bulanan yang perlu disediakan bagi memantau aktiviti transaksi kewangan unit yang terlibat. Sehubungan itu, ahli kumpulan telah memilih jalan penyelesaian dengan membangunkan log yang mampu mengira data dan lejar secara automatik serta boleh diakses secara atas talian yang dikenali sebagai e-Lejar. Kesan utama dari penyelesaian tersebut ialah tempoh proses pengurusan lejar telah dapat dikurangkan serta laporan lejar kewangan dapat dihasilkan dengan tepat dan cepat.

Hasil dari kemenangan tersebut Jabatan Perpustakaan telah menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00, piala iringan dan sijil penyertaan. Semoga kemenangan tersebut dapat mencetus inspirasi kepada staf Jabatan Perpustakaan untuk menghasilkan projek inovasi yang memberi impak positif kepada proses kerja di Perpustakaan.

 

Share this :