Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (KL) bertuah kerana dapat menjemput panel yang tidak asing lagi dalam kalangan warga Universiti Teknologi Malaysia iaitu Prof. Dr. Durrishah Idrus, dari PERDANA CENTRE, Fakulti Teknologi & Informatik Razak (FTIR), UTM KL bagi menjayakan program bicara karya bertajuk “Melakukan yang Terbaik Dalam Dunia Pekerjaan”. Program diadakan pada 23 Mei 2022 (Isnin) dari 2.30 petang sehingga 3.30 petang secara langsung menerusi  FB UTM Library Kuala Lumpur. Moderator ialah Puan Nurrull Huda binti Abdul Wahid, Pustakawan Kanan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Di awal program, Prof. Dr. Durrishah Idrus telah berkongsi dengan penonton buku-buku yang telah dibaca sebagai sumber rujukan. Antara buku tersebut ialah Pekerjaan dan Perusahaan Menurut Islam karya Mustafa Daud, Hubungan Majikan-Pekerja Menurut Islam karya Hakim Mohammed Said dan The Daily Drucker: 366 Days of Insight And Motivation For Getting The Right Things Done karya Peter F. Drucker.


Seterusnya, beliau memberi pandangan mengenai realiti dunia perkerjaan pada hari ini.  Beliau menyifatkan dunia pekerjaan pada hari ini amat mencabar berikutan krisis-krisis seperti Covid-19, kelembapan ekonomi, isu berkaitan 4IR, penganguran, isu gaji minimum, pemberhentian kerja, WFH vs WFO, serta kos sara hidup yang meningkat berbanding pendapatan. Isu-isu ini adalah faktor yang menghantui dunia pekerjaan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Beliau turut berkongsi intipati karya Mustafa Daud, 1994 dan Hakim Mohammed Said, 1989 yang berkait rapat serta mempunyai intipati yang hampir sama.  Kedua-duanya mengupas definisi pekerjaan menurut beberapa pandangan.  Akan tetapi konteks perkongsian kali ini lebih kepada hak-hak pekerja dan majikan menurut agama islam.  Menurut ajaran Islam, pekerjaan itu adalah fitrah keperluan untuk semua umat manusia namun berbeza dari segi kemampuan bagi lain-lain orang.  Manusia juga dikurniakan keupayaan dan akal fikiran untuk digunakan dalam konteks pekerjaan sama ada gagal atau terus maju jaya.  Mereka yang berkerja dan berusaha  amat dipandang mulia dalam Islam.  Bekerjalah dengan penuh amanah, ikhlas, dedikasi, proatif serta penuh sifat-sifat positif.

Beliau turut memetik hak pekerja secara umum dalam sesebuah perusahaan atau organisasi.  Hak-hak tersebut adalah seperti gaji atau upah, bentuk kerja, kesihatan, keselamatan, pembahagian keuntungan, tempat tinggal, persatuan dan kesatuan pekerja, layanan baik dan lain-lain.  Akan tetapi kedua-kedua karya tidak menyentuh secara khusus hak-hak majikan.  Walaubagaimanapun, wujudnya  majikan yang menindas pekerja.

Beliau turut menyentuh sedikit karya The Daily Drucker yang meliputi aspek kepimpinan, urusan seharian, perancangan tempat kerja serta perancangan kerjaya yang cemerlang iaitu kita perlu bijak mengurus majikan dan mengurus diri sendiri.  Sesi diakhiri dengan sesi soal jawab dan majlis tamat pada jam 3.30 petang.

Share this :