Program BookSharing@UTMKL 2022/Siri 8 telah diadakan pada Khamis, 07 Julai 2022. Pada kali ini, hanya seorang penyampai yang terlibat untuk berkongsi buku bacaannya iaitu Encik Mohamad Azrai Bin Mohamad Junid (Penolong Jurutera, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)). Memilih buku bertajuk Rumah Lelong A To Z yang ditulis oleh Adlina MN, beliau mengatakan bahawa buku ini mengandungi perincian prosedur lelongan bermula dari semakan kelayakan pinjaman perumahan dan dokumen-dokumen berkaitan, pemilihan hartanah, proses semasa, sebelum dan selepas bidaan termasuk pengambil alihan rumah dari pemilik asal, baikpulih serta ubah suai rumah lelong yang dimenangi. Mengandungi 21 bab, buku ini amat sesuai untuk pembaca yang ingin memiliki rumah lelong.

Encik Mohamad Azrai Bin Mohamad Junid mengulas sebuah buku bertajuk Rumah Lelong A To Z

Menurut beliau lagi, buku ini mendefinisikan rumah baru atau ‘undercon’ sebagai hartanah yang belum dimiliki atau dihuni oleh orang lain kerana masih dalam pembangunan oleh pemaju. Manakala, rumah ‘subsale’ bermaksud rumah yang dibeli dari pemilik sedia ada. Rumah lelong pula adalah harta yang akan dijual oleh pihak bank melalui lelongan awam.  Buku ini turut menjelaskan beberapa kebaikan dan keburukan membeli rumah baru, rumah ‘subsale’ dan rumah lelong yang mana ianya dikaitkan dengan pemaju, usia rumah, harga  dan pelbagai lagi faktor.

Penulis turut memberi penjelasan berkenaan pengisytiharan jualan, syarat jualan dan cara-cara menyemak kelayakan pinjaman perumahan bagi rumah lelong. Antara lain, penulis menyarankan pembida untuk membuat lawatan tapak sebelum membeli rumah lelong. Sebelum proses bidaan, pembida dinasihatkan untuk memastikan dokumen yang dibawa mencukupi dan membuat tawaran mengikut kemampuan kewangan.

Kesimpulannya, apa jua pembelian rumah yang kita pilih, kebaikan pemilihan rumah itu bergantung kepada kondisi, harga dan lokasi dimana rumah itu dipilih. Jadilan pembeli bijak!

Share this :