Pada 10 November 2022, para pelajar tingkatan 6 dari SMK Raja Muda, Muar, Johor telah mengadakan sesi lawatan ke Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dan juga Perpustakaan Sultanah Zanariah. Di PRZS, lawatan dikendalikan oleh saudara Muhammad ‘Atiff Mahussain manakala lawatan di PSZ pula dikendalikan oleh Cik Shaliza Yusos.

Sepanjang lawatan, para pelajar telah didedahkan dengan informasi yang berkaitan dengan perkhidmatan perpustakaan termasuklah dibawa melawat ke beberapa ruang utama perkhidmatan rujukan. Di PRZS, mereka dibawa melawat ruang akses layanan terbuka yang menempatkan buku-buku yang boleh dirujuk dan dipinjam oleh para pelajar. Di samping itu, mereka juga dapat melihat koleksi tesis lama yang telah bertukar status daripada koleksi layanan terhad kepada layanan terbuka di mana mereka diberi penerangan tentang tesis-tesis pelajar yang telah dihantar ke perpustakaan untuk dijadikan sebagai koleksi rujukan.

Selain itu, para pelajar juga berpeluang melawat ruang koleksi tesis tertutup di mana ia menempatkan tesis-tesis yang baru dan terkini di mana penerangan telah disampaikan oleh saudara Zul Izuan Hanafiah. Di sini pelajar didedahkan tentang kaedah pembahagian ruang koleksi tesis berdasarkan fakulti dan kod-kod warna tesis yang turut melambangkan fakulti dan juga status tesis tersebut sama ada ijazah sarjana muda, ijazah sarjana ataupun doktor falsafah.

Para pelajar juga berpeluang melawat Galeri Raja Zarith Sofiah yang menempatkan kesemua bahan bacaan yang telah disumbangkan oleh Canselor UTM iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah Permaisuri Johor.

sebelum mengakhiri lawatan para pelajar didedahkan dengan tatacara perkhidmatan di kaunter yang telah disampaikan oleh saudara Mohd Admin Sadali di mana mereka diberikan penerangan tentang kaedah peminjaman bahan secara manual di kaunter dan juga menggunakan sistem pinjaman layan diri (SPLD).

Lawatan pelajar-pelajar diteruskan lagi ke Perpustakaan Sultanah Zanariah di mana urusetia lawatan iaitu Cik Shaliza Yusos telah membawa para pelajar untuk melawat ke ruang koleksi layanan terbuka yang bertempat di aras 4 dan 5 bangunan Sultanah Zanariah. Di sini, para pelajar diberi penerangan tentang susunan bahan rujukan dan kategori-kategori bahan yang terdapat di perpustakaan.

Kemudian, para pelajar dan guru dibawa melawat ke Galerium Perpustakaan UTM. Di sini, para pelajar berpeluang menyaksikan koleksi alatan-alatan lama yang pernah digunakan oleh staf Perpustakaan UTM dalam menjalankan tugasan-tugasan tertentu seperti mesin penghasilan mikrofilem, mesin pengimbas, rak simpanan kad pinjaman bahan dan sebagainya.

Share this :