Program K-Sharing berjudul Citizen Science: Now Everyone Is A Scientist telah diadakan pada 15 Disember 2022 (Khamis) pada jam 9.00-11.00 pagi di Perpustakaan Sultanah Zanariah. Jabatan Perpustakaan telah menjemput seorang ahli panel yang terlibat secara langsung di dalam projek citizen science atau sains rakyat  iaitu Prof. Dr. Mohammad Rafee Majid, Pensyarah dari Fakulti Alam Bina dan Ukur. Moderator bagi program ini ialah Pn. Zafarina Bt. Dol, Ketua Seksyen Penyelidikan dari Perpustakaan UTM.

Di awal sesi perkongsian, Prof. Dr. Mohammad Rafee Majid telah menjelaskan secara ringkas mengenai maksud citizen science di mana ia secara umum membawa maksud satu-satu kerja atau projek saintifik yang dijalankan bersama-sama dengan komuniti awam, dan projek tersebut diselia atau dipantau oleh mana-mana saintis profesional atau badan-badan sains profesional.

Menurut panel, jejak sejarah citizen science ini boleh ditelusuri seawal abad ke-20 lagi. Namun begitu, pada abad tersebut, para saintis yang terlibat di dalam bidang penyelidikan adalah mereka yang mempunyai dana dan wang yang banyak. Kemudian ia disusuli dengan peralihan abad yang baharu di mana penyelidikan sains didominasi pula oleh warga penyelidik daripada universiti-universiti dan badan penyelidikan milik kerajaan. Sehinggalah pada tahun 70-an apabila terdapat kesedaran terhadap kekhuatiran dapatan sains itu dipengaruhi oleh karenah birokrasi atau pihak-pihak berkepentingan tertentu, lalu muncul gerakan yang mendorong penyelidikan sains itu dikembalikan kepada rakyat yang mencintai sains. Pada abad ke-21, dengan bantuan teknologi yang semakin maju dan moden, penyelidikan sains yang melibatkan orang awam itu menjadi lebih mudah kerana akses kepada penyelidikan itu yang lebih meluas.

Panel seterusnya memberikan beberapa contoh popular projek-projek sains rakyat  yang mendapat sambutan hangat di luar negara seperti Scistarter, EU-Citizen.Science dan Zooniverse. Di dalam portal-portal tersebut, terdapat banyak projek-projek yang boleh disertai oleh orang awam dan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan.

Seterusnya, panel juga memberikan beberapa contoh projek sains rakyat yang berpengkalan di Malaysia seperti City Nature Challenge, Urban Wildlife Sighting dan juga My Garden Birdwatch. Salah satu daripada projek ini iaitu City nature Challenge adalah merupakan kerjasama di antara UTM dan Iskandar Malaysia.

Prof. Dr. Mohammad Rafee Majid juga memberikan contoh yang lebih mendalam tentang salah satu projek sains rakyat yang turut melibatkan UTM iaitu iNaturalist di bawah UTM Biodiversity di mana projek ini telah menghimpunkan data yang menarik mengenai kehidupan biodiversiti di dalam kampus UTM. Hasilnya, cerapan atau dapatan yang diberikan oleh para pelajar yang menyertai projek ini menunjukkan kepelbagaian jenis hidupan boleh didapati di dalam kampus UTM sahaja.

Di samping itu, panel juga telah memperkenalkan sebuah projek sains rakyat UTM iaitu aplikasi  UTMedo App yang masih lagi di dalam peringkat prototaip. Melalui aplikasi ini, aktiviti seperti konservasi biodiversiti, edupelancongan dan sebagainya dapat disampaikan kepada para pelajar secara meluas dan dengan harapan boleh menarik minat pelajar untuk menyertai projek sains rakyat tersebut.

Share this :