Pada 27 Ogos 2023 (Ahad), Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) UTM Johor Bahru telah dikunjungi oleh delegasi dari Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia. Lawatan ini adalah sebahagian daripada program Networking Sharing Session yang dianjurkan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) (JTNCPI). Seramai enam (6) orang wakil delegasi telah berkunjung ke PSZ. Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan oleh Perpustakaan UTM dan sekaligus membuka satu peluang sinergi dan jalinan hubungan kerjasama pada masa akan datang. Sesi lawatan ini dikendalikan oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Seksyen Perkhidmatan Maklumat.

Sepanjang sesi lawatan, Puan Khairulbahiyah telah memberi penerangan tentang perkhidmatan yang disediakan di PSZ seperti waktu operasi perpustakaan, koleksi bahan rujukan dan perkhidmatan kaunter yang disediakan untuk pengguna perpustakaan.

Seterusnya, delegasi lawatan turut dibawa berkunjung ke Galerium Perpustakaan UTM yang bertempat di aras dua di mana ia menempatkan pelbagai artifak bersejarah yang telah digunakan sejak dari awal penubuhan UTM. Artifak tersebut termasuk juga peralatan yang digunakan oleh Perpustakaan UTM untuk memenuhi keperluan tugasan staf seperti mesin pengimbas, pembaca mikrofilem, komputer dan lain-lain. Sesi penerangan di Galerium UTM telah disampaikan oleh Dr. Nazrinda A. Samah, Pustakawan dari Unit Penyelidikan Galeri.

Semoga lawatan ini memberikan banyak input berharga kepada delegasi UNAIR dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi di samping dapat meneruskan jaringan kerjasama dengan Perpustakaan UTM.

Share this :