Pada 8 Ogos 2023 (Selasa), Jabatan Perpustakaan UTM di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) telah menerima kunjungan seramai sembilan (9) orang pelawat dari Universitas Muhammadiyah Jember Center (UMJ) yang diketuai oleh Dr. Juariyah yang merupakan Dekan Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik.

Puan Haslina Nasir, Timbalan Ketua Pustakawan (Pembangunan) telah mengetuai sesi lawatan ini dan dibantu oleh Encik Mohd Fuad Mohamed Yusof, Ketua Seksyen Galeri dan Puan Nur Nazurah Nordin, Pustakawan, Unit Promosi. Para pelawat telah dibawa melawat ke ruangan utama PSZ di setiap aras dan fokus lawatan adalah dari segi perkhidmatan kepada pengguna dan sistem pengurusan perpustakaan yang digunakan oleh Perpustakaan UTM.

Para pelawat juga berkesempatan untuk melawat Galerium UTM yang menempatkan artifak-artifak sejak awal penubuhan UTM. Taklimat dan penerangan ringkas berkaitan Galerium UTM telah disampaikan oleh Encik Mohd Fuad Mohamed Yusof.

Galerium UTM menempatkan artifak-artifak yang boleh dianggap sebagai memorabilia yang menggamit kenangan atas segala jerih-perih warga UTM yang menggunakan bahan-bahan tersebut untuk menyempurnakan tugasan-tugasan tertentu dan segala kepayahan dan kesusahan itu berbayar dengan peningkatan teknologi dan segala kerja menjadi semakin mudah.

Jabatan Perpustakaan UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada delegasi Universitas Muhammadiyah Jember di atas kesudian melawat Perpustakaan UTM dan diharapkan agar lawatan ini dapat menjalinkan platform sinergi di antara UMJ dan Perpustakaan UTM untuk projek-projek ilmu pengetahuan di masa akan datang.

Share this :