Pada 5 Oktober 2023 (Ahad), Perpustakaan UTM telah menerima kunjungan lawatan daripada Maahad Tahfiz Al Iman Tanjung Sedili yang terdiri daripada 54 orang pelajar dan 12 orang guru. Lawatan ini telah dikendalikan oleh Pustakawan Unit Promosi iaitu Puan Nur Nazurah Nordin dan dibantu oleh petugas lawatan dari Seksyen Perkhidmatan Maklumat. Sesi lawatan ini telah berlangsung selama 2 jam.

Program lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan kepada perpustakaan oleh pustakawan bertugas iaitu Puan Nur Nazurah Nordin di mana ia dijalankan di Bilik Tayangan Aras 3. Di akhir sesi taklimat, pustakawan bertugas telah membuka sesi kuiz dan para pelajar yang berjaya menjawab kuiz tersebut mendapat cenderamata dari pihak perpustakaan.

Seterusnya, program diteruskan dengan sesi tour ke ruangan tertentu Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) seperti Ruang Interaktif, Koleksi Layanan Terbuka di aras 4 dan 5 serta Galerium UTM. Petugas lawatan telah menerangkan dan berkongsi serba ringkas tentang perkhidmatan yang disediakan di PSZ seperti waktu perkhidmatan, koleksi bahan-bahan yang terdapat di perpustakaan dan fasiliti yang perpustakaan tawarkan kepada pelajar-pelajar UTM. Di samping itu, para pelawat turut berkesempatan melihat kaedah pencarian bahan rujukan di laman web Perpustakaan UTM di mana petugas lawatan menunjukkan simulasi pencarian bahan dan bagaimana bahan tersebut dicari di rak koleksi layanan terbuka.

Selepas sesi penerangan di ruang Koleksi Layanan Terbuka, para pelajar Maahad tahfiz Al-Iman berkesempatan melaksanakan program NILAM di ruang Koleksi Layanan Terbuka aras 4 dengan bimbingan guru pengiring. Mereka dikehendaki mencari bahan bacaan di rak dan memasukkan maklumat bahan ke dalam buku rekod NILAM masing-masing.

Seterusnya, para pelawat dibawa ke Galerium UTM yang bertempat di aras 2. Di Galerium UTM, para pelawat diberi penerangan oleh staf-staf bertugas dari Unit Galeri tentang koleksi artifak yang terdapat di situ. Para pelawat sangat teruja melihat perkembangan teknologi yang berlaku sepanjang penubuhan UTM khususnya Perpustakaan UTM dalam memastikan para penggunanya dapat menggunakan perkhidmatan perpustakaan secara optimum untuk keperluan pengajian mereka sepanjang di UTM.

Di akhir lawatan, Puan Haslina Nasir, Timbalan Ketua Pustakawan (Pembangunan) mewakili pengurusan Perpustakaan UTM telah memberi sumbangan bahan bacaan kepada pihak Maahad Tahfiz Al-Iman sebanyak sebanyak 137 naskhah buku. Antara kategori buku yang disumbangkan ialah buku fiksyen, buku rujukan, buku pendidikan, buku umum, agama dan lain-lain.

Semoga lawatan ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang tidak dilupakan kepada para peserta dan dapat menarik minat mereka untuk memilih UTM sebagai universiti pilihan untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi di masa hadapan.

Share this :